Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Malaysia akan menilai keperluan menghantar pasukan tentera ke Palestin selepas mempertimbangkan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai negara di bawah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan anggota PBB, Malaysia tidak mahu mengambil tindakan secara bersendirian.

"Kita akan mempertimbangkan apa juga keputusan yang akan dibuat oleh PBB dan akan menilai sejauh mana komitmen yang akan diambil oleh kerajaan Malaysia terutamanya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita dah ada lebih 800 anggota tentera di Lubnan, kita juga ada beberapa pegawai yang masih bertugas di Somalia atau di negara Afrika.

"Sebagai sebuah negara yang menyertai misi pengaman PBB, kita akan tunggu dan lihat apa keputusan PBB... di situ nanti kita akan menilai sama ada keperluan Malaysia menyertai tentera pengaman ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di sini hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan juga tidak akan tergesa-gesa menghantar pasukan tentera ke Palestin.

Sebelum itu media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu Palestin yang kini sedang berperang dengan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 4:36 PM