Noorazura Abdul Rahman

Sik: Banjir di beberapa kampung di daerah ini malam tadi dianggap paling buruk dalam tempoh 60 tahun lalu kerana air sungai melimpah terlalu cepat dan deras.

Dianggarkan lebih 100 rumah sekitar 11 kampung terjejas susulan hujan lebat lebih 2 jam bermula jam 4 petang semalam, antaranya Lubuk Tualang, Belimbing, Jerai, Bendang Tebal dan Chepir.

Penduduk Kampung Lubuk Tualang, Rafeah Yaakob, 67, berkata banjir boleh dikatakan berlaku hampir setiap tahun, namun kejadian semalam dianggap terburuk kerana air naik hampir mencecah bumbung rumah.

"Setiap tahun air naik hanya paras pinggang tapi kali ini lebih tinggi menyebabkan banyak barang dalam rumah tak sempat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat.

"Saya dan anak cuma sempat angkat peti ais dan beberapa barang saja, yang lain ditenggelami air," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, banjir itu juga menyebabkan tebing sungai berhampiran rumahnya runtuh, sekali gus menyebabkan tidak lagi selamat diduduki.

Katanya, dia tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah selain sumber kewangannya juga terhad kerana hanya bekerja sebagai penoreh getah.

"Saya harap kerajaan negeri dapat bantu baik pulih tebing sungai yang runtuh kerana jaraknya tidak sampai sejengkal dengan rumah saya.

"Kami bimbang jika berlaku banjir lagi, rumah saya akan runtuh atau dihanyutkan air," katanya yang juga ibu tunggal.

Manakala seorang lagi mangsa, Manan Ramli, 59, berkata air mula melimpah ke rumahnya kira-kira jam 6.30 petang semalam.

"Apabila nampak air sungai semakin tinggi, saya terus pindahkan kenderaan naik ke tempat lebih selamat dan kemudian terpaksa meredah banjir bersama isteri dan tiga cucu yang masih kecil ke rumah jiran, ketika itu air sudah paras pinggang.

"Tidak sampai 10 minit air naik sampai ke dada, kami tak sempat selamatkan barang elektrik dan perabot di dalam rumah," katanya yang juga penoreh getah.

Kejadian banjir kali ini juga turut menghanyutkan balak ke tepi rumahnya selepas keadaan yang sama berlaku tiga tahun lalu.

Seorang lagi mangsa, Suhaimi Abdullah, 53, berkata banjir kali ini menyebabkan barang elektrik dan perabotnya rosak biar pun sudah dipindahkan ke tempat tinggi.

"Kebiasaannya air naik paras setengah meter sahaja, jadi saya letak peti ais dan perabot lain ke tempat biasa ketika berlaku banjir, tak sangka kali ini air naik lebih tinggi dan arusnya juga deras menyebabkan banyak barang terbalik dan rosak.

"Saya anggarkan kerugian kira-kira RM5,000 kerana semua pakaian dan buku sekolah anak juga ditenggelami air. Kami kini hidup dalam keadaan bimbang, takut akan berlaku kejadian tidak diingini sekiranyahujan berlarutan," katanya.

Terdahulu seramai 67 mangsa banjir dari 20 keluarga di 11 kampung di Mukim Sik, Mukim Sok dan Mukim Teloi berpindah ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan berlakunya banjir.

PPS yang dibuka ialah PPS Balai Islam Kampung Tanjung Belit yang menempatkan seramai 62 mangsa, PPS Surau Kampung Belimbing menempatkan lima mangsa dan PPS Sekolah Kebangaaan Chepir menempatkan lima mangsa.

Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Shamsul Izrin Isahak berkata, PPS dibuka bermula jama 10 malam tadi, berikutan banjir kilat yang melanda kawasan sekitar.

"Hujan lebat bermula pada jam empat petang selama hampir empat jam menyebabkan air sungai melimpah ke tebing sungai dan seterusnya memasuki rumah penduduk.

"Setakat ini, satu PPS telah ditutup manakala dua lagi masih dibuka, kebanyakan mangsa telah pulang ke rumah untuk membersihkan lumpur," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 2:27 PM
RAFEAH menunjukkan tebing sungai di tepi rumahnya di Kampung Lubuk Tualang yang runtuh. FOTO Noorazura Abdul Rahman
RAFEAH menunjukkan tebing sungai di tepi rumahnya di Kampung Lubuk Tualang yang runtuh. FOTO Noorazura Abdul Rahman