Mohd Roji Kawi


Sibu: Perkhidmatan bot laju yang pernah menjadi pengangkutan utama penduduk di kawasan tengah Sarawak sejak 1970-an, kini seakan-akan menunggu masa untuk gulung tikar.

Dalam tempoh lebih 40 tahun, bot laju menjadi pilihan penduduk dari daerah Dalat, Igan dan Daro untuk ke bandar utama di wilayah tengah iaitu Sibu.

Ketika zaman kegemilangannya, lebih 10 bot laju dengan enjin berkuasa tinggi menyediakan perkhidmatan antara Dalat dan Sibu, begitu juga dari Igan serta Daro.

Untuk laluan Sibu ke Dalat misalnya, bot laju yang berkapasiti 20 penumpang sentiasa penuh, malah ketika hujung minggu atau musim perayaan jumlah bot terpaksa ditambah bagi menampung jumlah penumpang yang ramai.

Malah ada operator bot yang sanggup menempuh risiko apabila membawa penumpang berlebihan.

Situasi itu menyebabkan agensi keselamatan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Pasukan Polis Marin (PPM) mengambil langkah tegas dengan melaksanakan 'sekatan sungai' bagi memastikan operator bot tidak mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan.

Namun, keadaan jauh berubah kini, apabila jumlah penumpang menyusut teruk sehingga satu perjalanan selama dua jam dari Dalat ke Sibu dan sebaliknya, hanya seorang penumpang menggunakan perkhidmatan bot laju itu.

Tambang RM35 seorang pastinya terlalu kecil jumlahnya berbanding kos minyak untuk perjalanan sehala itu yang mencecah RM400.

"Memang tidak berbaloi, tetapi kami masih tetap menjalankan perkhidmatan ini kerana masih ada sebilangan kecil yang mahu menggunakan bot laju.

"Namun, tidak pasti berapa lama lagi perkhidmatan ini mampu bertahan kerana kos minyak sahaja sudah cukup membebankan, belum lagi kos penyelenggaraan," kata seorang operator bot yang hanya mahu dikenali sebagai Danny.

Menurut Danny, masalah kekurangan penumpang bermula ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020.

"Selepas PKP tamat, kami berharap keadaan kembali pulih, namun harapan itu tidak menjadi kenyataan, malah bertambah teruk sehingga ada kalanya kami meneruskan perjalanan dengan hanya seorang penumpang.

"Dulu banyak bot laju beroperasi antara Dalat dan Sibu setiap jam bermula 6.30 pagi hingga 3 petang, namun sekarang hanya ada tiga yang masih berfungsi dengan dua sahaja yang beroperasi setiap hari," katanya.

Katanya, perjalanan darat yang semakin lancar dengan siapnya projek Lebuh Raya Pan Borneo dari Selangau ke Sibu juga antara faktor ramai yang kini beralih kepada pengangkutan darat untuk ke Sibu.

Beliau akur dengan perubahan itu, namun masih bersedia menjalankan operasi kerana yakin ada yang masih memerlukan perkhidmatan bot laju itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 1:14 PM