BOT ekspres yang merempuh pondok simpanan padi.
BOT ekspres yang merempuh pondok simpanan padi.
Mohd Roji Kawi


LEBIH 20 penumpang cemas apabila bot ekspres yang dinaiki merempuh pondok simpanan padi di sebuah rumah panjang di Rassau, di Sibu, pagi tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, bot ekspres itu dalam perjalanan dari Igan ke Sibu sebelum menghampiri jeti di rumah panjang berkenaan untuk mengambil penumpang.

Sumber memberitahu NSTP, berkata masalah enjin dipercayai menyebabkan juragan gagal mengundurkan bot ekspres itu lalu merempuh pondok berkenaan.

“Akibat rempuhan, pondok tempat menyimpan padi yang didirikan penduduk di tebing Sungai Igan, roboh dan rebah ke dalam sungai,” katanya.

Dia berkata, beberapa penumpang yang cemas keluar dari bot berkenaan kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dilaporkan sama ada penumpang mahupun penduduk rumah panjang berkenaan.

“Nasib baik juga ketika itu tiada siapa berada di dalam pondok berkenaan,” katanya.

Katanya, bot ekspres berkenaan kemudian meneruskan perjalanan ke Sibu yang mengambil masa selama dua jam menyusuri Sungai Igan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 3:45 PM