RAJA Zarith Sofiah menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di Gaza.  FOTO Ihsan FB The Royal Johor
RAJA Zarith Sofiah menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di Gaza. FOTO Ihsan FB The Royal Johor
BERNAMA

Johor Bahru: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di bumi Gaza ketika ini, pada satu majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Palestin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sabtu.

Menurut hantaran di Facebook rasmi The Royal Johor, baginda yang juga Canselor UTM telah berkenan berangkat ke majlis itu bersama isteri Tunku Mahkota Johor Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam yang juga Pro-Canselor UTM.

Hadir sama Naib Canselor UTM Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Pada sesi dialog bersama pelajar berkenaan, baginda bertitah bahawa baginda sentiasa mengikuti perkembangan semasa di bumi Gaza.

"Sejak 8 Oktober lalu, saya mengikuti berita di dalam media sosial mengenai situasi semasa di Palestin. Saya berasa amat sedih melihat apa yang sedang berlaku ketika ini.

"Menerusi majlis hari ini, pelajar berkongsi pengalaman yang dilalui sewaktu berada di Palestin serta menyuarakan apa yang boleh dibantu dunia," titah Permaisuri Johor.

Pada sesi itu, beberapa pelajar Palestin turut berkongsi bahawa ketika ini bukan sahaja ribuan rakyat di Gaza mengalami kecederaan, malah berdepan krisis bekalan makanan dan air.

Selain itu, mereka turut menyatakan kebimbangan mengenai keadaan keluarga masing-masing disebabkan tiada kemudahan Internet dan bekalan elektrik.

Seramai 31 pelajar dari Palestin itu sedang mengikuti pengajian di UTM pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata majlis itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pelajar Palestin selain memberitahu bahawa UTM sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan.

Pertempuran terkini melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas, telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 10:43 PM