Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
BERNAMA

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengumpul dana berjumlah RM4.74 juta menerusi program Majlis Santapan DiRaja UTM 2022 untuk disalurkan kepada pelbagai tabung kebajikan penuntut tidak berkemampuan di universiti itu.

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dana dikumpulkan dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini malam tadi akan disalurkan ke Tabung Endowmen, Wakaf Pendidikan dan 'Because We Care Chancellor's Fund'.

"Majlis pertama kali dianjurkan di Johor Bahru ini berjaya mengumpul sebanyak RM4.74 juta melalui penjualan meja, penajaan serta sumbangan daripada syarikat korporat, industri, alumni UTM, staf serta penuntut dan individu," menurut kenyataan itu.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan isteri Pemangku Raja Johor Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam berkenan berangkat ke majlis dwitahunan yang juga platform pengumpulan dana yang dianjurkan sejak 2012 itu.

Menurut UTM, Yayasan Johor Corporation (JCorp) adalah penyumbang utama tahun ini iaitu sebanyak RM500,000, manakala Johor Port Berhad menyumbang RM2 juta terus ke Tabung Endowmen UTM.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Fauzi Ismail dalam kenyataan sama memberitahu sumbangan wang yang diperoleh daripada majlis itu akan digunakan untuk membiayai pengajian penuntut UTM, khususnya daripada kelompok B40.

"Golongan ini memerlukan pembelaan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti selain aktiviti penyelidikan dan akademik yang memerlukan pembiayaan demi menjana kecemerlangan UTM di persada dunia, khasnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan," katanya.

UTM menyatakan pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyempurnakan pelancaran tiga buku bertajuk 'Menelusuri Lima Dekad Pembangunan UTM', 'Kepimpinan Berwawasan Universiti Sanjungan Bangsa' dan 'Penyelidik Berimpak, Mensejahterakan Masyarakat' untuk jualan serta manfaat umum.

Permaisuri Johor juga berkenan menyempurnakan pelancaran usaha program Serambi Al-Quds yang bertujuan mengumpul dana bagi menawarkan biasiswa kepada penuntut Palestin yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah di UTM.

Sehingga kini, Serambi Al-Quds sudah menerima sumbangan sebanyak RM2.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 3:11 PM