Paya Linda Yahya

Gua Musang: "Arwah ayah ada janji dengan mak, hasil jual ikan nanti nak beli susu untuk mak dan katanya ini adalah kali terakhir dia keluar menangkap ikan di sungai," kata Rosnani Mohd Aziz dengan nada sebak.

Rosnani, 35, anak sulung kepada Mohd Aziz Ismail, 65, nelayan sungai yang ditemukan lemas selepas bot pancung yang dinaikinya bersama seorang rakan terbalik ketika keluar mencari ikan di Sungai Nenggiri pagi hari ini.

Menurutnya, dia menerima panggil daripada adik bongsunya yang memaklumkan kejadian berlaku pada 9 pagi ketika berada di rumah keluarganya di Kampung Pasir Tumbuh dekat sini.

"Sebelum arwah keluar rumah selepas solat Subuh saya sempat bertemu dengannya dan tiada perubahan pelik pada dirinya.

"Kami sempat berbual dan katanya ini kali terakhir dia ke sungai untuk mencari ikan kerana selepas ini akan membantu ibu menoreh getah.

"Namun sejak seminggu lalu, arwah meluahkan hasrat untuk berjumpa cucu sulungnya, Mohammad Al-Akiff Raikal Aizum yang sembilan tahun iaitu anak sulung saya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Menurutnya, Allah SWT gerakkan hatinya untuk balik ke rumah keluarganya itu semalam mungkin untuk berjumpa dengan ayah buat kali terakhir.

"Sempat juga dia berjumpa dengan cucu kesayangannya," katanya yang tinggal di Sungai Asap A dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian yang berlaku di Kampung Star itu pada 12.26 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 8.30 pagi.

"Kedua-dua mangsa diselamatkan oleh pekerja kilang pasir yang terdengar suara orang meminta tolong dari arah sungai.

"Bagaimanapun, seorang daripadanya meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, mayat itu dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang untuk proses dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemukan terhadap mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 5:04 PM
Anak  mangsa, Siti Alora Fatihah Mohd Aziz, 29, menunjukkan gambar arwah ayahnya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya 
Anak  mangsa, Siti Alora Fatihah Mohd Aziz, 29, menunjukkan gambar arwah ayahnya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya