MUHAMMAD Azrul Shazwan Mat Safie, 13, yang bertarung nyawa selama enam bulan kerana sakit injap jantung berlubang meninggal dunia atas riba ibunya, Rosmawati Mat, 50 petang semalam di rumahnya di Taman Agropolitan, Rantau Manis. FOTO Ramli Ibrahim
MUHAMMAD Azrul Shazwan Mat Safie, 13, yang bertarung nyawa selama enam bulan kerana sakit injap jantung berlubang meninggal dunia atas riba ibunya, Rosmawati Mat, 50 petang semalam di rumahnya di Taman Agropolitan, Rantau Manis. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


REMAJA yang menghidap penyakit injap jantung berlubang minta makan ayam goreng sejam sebelum dia menghembus nafas terakhir, semalam.

Ibunya, Rosmawati Mat, 50, berkata, Muhamad Azrul Mat Safie, 13 yang menghidap penyakit itu sejak Jun lalu, meninggal dunia di atas ribanya di rumah di Taman Agropolitan, Rantau Manis, di Gua Musang, pada 4.30 petang semalam.

Rosmawati berkata, anaknya meninggal dunia sebaik saja azan Asar selesai berkumandang,

“Sejam sebelum itu, Azrul ada minta untuk makan ayam goreng dan ingin pakaian baharu untuk dipakainya.

“Kami cepat-cepat pergi membeli pakaian baharu dan ayam goreng di bandar ini. Bagaimanapun, saya hanya sempat menyuap secubit ayam sebelum dia meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rosmawati berkata, sepanjang arwah sakit, dia tidak pernah meninggalkan solat lima waktu malah kerap melakukan solat hajat dengan memohon supaya dirinya kembali sihat.

“Menitis air mata saya apabila arwah begitu sabar dan sanggup menunaikan solat hajat sendiri walaupun dalam keadaan sakit kritikal,” katanya.

Katanya, arwah juga sempat dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap September lalu kerana teringin sangat berjumpa dengan rakannya.

“Kami menunaikan permintaan arwah walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk berjumpa dengan rakannya dan kelihatan ceria apabila pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 1:32 PM