PENDUDUK Palestin yang terkorban akibat serangan udara Israel ke atas Hospital Ahli Arab di tengah Gaza selepas mereka dibawa ke hospital Al-Shifa. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin yang terkorban akibat serangan udara Israel ke atas Hospital Ahli Arab di tengah Gaza selepas mereka dibawa ke hospital Al-Shifa. FOTO AFP
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Rakyat di negara ini perlu peka dan faham bahawa Israel sudah mewujudkan propaganda dalam kalangan masyarakat antarabangsa untuk menyatakan kepada dunia peperangan yang berlaku adalah menentang Hamas.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, pihaknya mendapati Israel terus menipu dengan menggunakan taktik ideologi Hamas untuk mengaburkan mata masyarakat dunia.

Menurutnya, ramai yang menyangka bahawa perang yang berlaku sekarang adalah antara Hamas dan Israel, namun sangkaan terbabit perlu diperbetulkan kerana isu yang berlaku sekarang adalah antara Palestin dengan Israel.

"Kita melihat hari ini hospital di Gaza di bom sehingga lebih 500 orang terbunuh.

"Atas sebab itu, kita berpendirian bahawa Israel menyerang Gaza dalam keadaan mereka tidak membezakan sama ada Hamas dan Fatah, malah mereka menyasarkan rakyat Palestin dan segala infrastruktur bangunan," katanya di sini, hari ini.

Hussain berkata, apa yang merisaukan adalah perang Israel-Palestin tidak akan mengukuhkan perpaduan umat Islam dan Arab.

Beliau berkata, ia kerana banyak negara monarki Arab yang kaya dengan sumber telaga minyak mengambil sikap membisu kerana bimbang kepentingan ekonomi mereka terganggu.

"Kuasa Barat akan terus mempertahankan rejim haram Zionis bagi memastikan industri minyak dan gas kekal dalam kawalan mereka.

"Justeru, kita berharap Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam kalangan negara Asia dan di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk terus bersuara supaya berlaku adil kepada rakyat Palestin.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini ada menyentuh mengenai hak rakyat Palestin kepada seluruh masyarakat dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 3:29 PM