ISRAEL sudah membayangkan untuk meneruskan operasi daratnya bagi mencapai matlamatnya iaitu 'melenyapkan pejuang Hamas'.
ISRAEL sudah membayangkan untuk meneruskan operasi daratnya bagi mencapai matlamatnya iaitu 'melenyapkan pejuang Hamas'.
Syah Rul Aswari Abdullah


Perang di Gaza kini memasuki bulan ketiga. Sehingga minggu lalu, lebih 15,200 penduduk Palestin terkorban dengan 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak. Selain itu, lebih 40,000 penduduk wilayah tepi pantai itu, cedera.

Di pihak Israel, kenyataan rasmi menyatakan jumlah korban adalah kira-kira 1,200. Jumlah itu tidak banyak berubah sejak perang bermula pada 7 Oktober lalu. Berbanding dengan korban di Palestin, ia terus meningkat susulan pengeboman tentera zionis selepas jeda kemanusiaan atau gencatan senjata secara sementara terhenti pada 1 Disember lalu.

Ketika ini, tidak nampak akan ada satu lagi gencatan senjata sementara di Gaza. Israel sudah membayangkan untuk meneruskan operasi daratnya bagi mencapai matlamatnya iaitu 'melenyapkan pejuang Hamas.' Matlamat ini dinyatakannya secara terbuka kepada dunia sejak ia mengisytiharkan perang terhadap Hamas, pada 8 Oktober lalu. Selain itu, ia bertegas bahawa tidak akan ada pertukaran tahanan dan tebusan sehingga perang tamat.

Di tengah-tengah malapetaka kemanusiaan ini, media Barat sekali lagi dilihat lebih cenderung untuk melaporkan perang ini daripada kaca mata Israel. Ini menjadikan liputan krisis ini berat sebelah dengan Israel dengan pantas dilabelkan pihak yang mempertahankan diri, manakala Hamas pula dianggap sebagai kumpulan pengganas.

Naratif ini yang diulang siar oleh media Barat sejak 7 Oktober lalu, seolah-olah untuk 'membenarkan' tindakan Israel melancarkan perang terhadap Hamas. Ia dilakukan walaupun tindakan ini jelas mendatangkan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Liputan berat sebelah ini dapat dilihat apabila Israel membenarkan koresponden media Barat untuk pergi ke negara itu bagi membuat liputan besar-besaran mengenai apa yang dikatakan sebagai kekejaman Hamas. Dakwaan demi dakwaan disiarkan untuk menunjukkan kesan serangan Hamas ini.

Setiap hari, bermula pada 7 Oktober lalu - agensi berita utama pula menyiarkan kemas kini tebusan yang dibawa dari Israel ke Gaza. Ini termasuk harapan ahli keluarga rakyat Israel yang menantikan kepulangan tebusan.

Dunia juga dimomok- momokkan mengenai dakwaan kononnya pejuang Hamas memenggal 40 bayi ketika serangan pada 7 Oktober. Biarpun tiada pengesahan, laporan ini disiarkan oleh agensi berita dan organisasi media antarabangsa. Minggu lalu, media Barat ada menyiarkan dakwaan mengenai serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh pejuang bersenjata dari Gaza.

Pada masa sama, Israel tidak membenarkan wartawan asing untuk memasuki Gaza bagi membuat liputan perang. Ini sekali gus menghalang laporan yang seimbang dari kaca mata penduduk Palestin untuk disiarkan kepada masyarakat antarabangsa.

Hanya pada bulan lalu, Israel ada membawa wartawan agensi berita antarabangsa untuk memasuki utara Gaza. Langkah ini bagaimanapun dilaksanakan secara bersyarat iaitu petugas media perlu menyerahkan setiap bahan berita ini termasuk gambar untuk 'ditapis' oleh pasukan Tentera Pertahanan Israel sebelum diberi 'lampu hijau' untuk siaran.

Lebih lucu pada minggu lalu apabila tentera Israel menjelaskan bahawa pihaknya menggunakan pelbagai cara termasuk SMS untuk memberi maklumat kepada penduduk Palestin sebelum membedil mana-mana kawasan di Gaza. Sedangkan, sudah dua kali Israel menyekat sepenuhnya liputan telekomunikasi di Gaza.

Sedar atau tidak, liputan media Barat dalam konflik ini sekali lagi mengulangi cara laporan susulan serangan 9/11 di Amerika Syarikat pada 11 September 2011. Orang Islam atau orang Arab dengan cepat dilabel sebagai pengganas. Ini terbukti menerusi beberapa laporan agensi berita utama pada minggu pertama perang di Gaza yang menyamakan serangan Hamas sama seperti 9/11.

Realitinya, laporan negatif terhadap Hamas adalah satu cara untuk mengumpul sokongan dunia terhadap operasi ketenteraan Israel yang rakus 'meratakan' bumi Gaza.

Ia juga propaganda bagi memberikan pandangan sempit bahawa isu ini berpunca daripada serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu sekali gus menidakkan penindasan dialami penduduk Palestin sejak tujuh dekad lalu.

Ia juga bagi menguatkan naratif yang cuba diketengahkan rejim Zionis bahawa pihaknya ada orang baik dan Hamas adalah orang jahat, dalam perang ini. Jadi, seperti mana-mana filem - Israel mahu mengawal naratif ini untuk memberitahu dunia bahawa orang baik akan menang dan orang jahat mesti mati.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 5:59 AM