​​HANNAH (kanan) beramah mesra bersama sebahagian kontinjen remaja selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Komanwel di Menara KBS, Putrajaya. - FOTO KBS
​​HANNAH (kanan) beramah mesra bersama sebahagian kontinjen remaja selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Komanwel di Menara KBS, Putrajaya. - FOTO KBS
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilihat sangat agresif melakukan pembaharuan sepanjang setahun di bawah kepimpinan Hannah Yeoh selaku menteri serta timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Sedar tidak sedar sebanyak 22 pembaharuan sudah dilakukan merangkumi empat skop utama sejak Hannah mengetuai kementerian itu pada Disember tahun lalu dan dijangka banyak lagi pembaharuan akan dilakukan selepas ini.

Di bawah skop memperkukuhkan ekosistem sukan, sebanyak 12 pembaharuan sudah dilakukan dengan yang paling mencuri tumpuan adalah pembentukan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) bertujuan menyelaraskan usaha negara ke arah mendapatkan pingat emas Olimpik pertama untuk Malaysia. Jawatankuasa itu meliputi dua kitaran Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Selain itu, KBS juga menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC) pada Jun lalu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memfokuskan isu berkaitan sukan tempur, renang dan olahraga serta keperluan untuk mengamalkan pendekatan menyeluruh pembangunan sukan membabitkan kerjasama antara KBS, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

KBS turut melonggarkan syarat penganjuran acara sukan bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti sukan diadakan apabila mengumumkan semua acara sukan tempatan yang dianjurkan persatuan dan kelab sukan berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan.

Di bawah kepimpinan Hannah, bilangan sukan yang diiktiraf ditingkatkan kepada 103 jenis berbanding 51 sebelum ini.

Lapan lagi pembaharuan di bawah skop memperkukuhkan ekosistem sukan adalah mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah, membantu konservasi Harimau Malaya, melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), memaparkan peruntukan yang diluluskan, membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan, mengadakan KBS Open Day, membangunkan Kod Sukan Selamat serta mewajibkan kehadiran pegawai pengiring bagi mengiringi atlet para negara.

Menerusi skop merakyatkan sukan pula, KBS mewujudkan Direktori Fasiliti Sukan iaitu menyenaraikan lebih 1,000 fasiliti sukan yang dimiliki dan dikendalikannya di seluruh negara bertujuan memberikan kemudahan akses kepada orang ramai dan persatuan sukan kebangsaan dengan memudahkan mereka mengenal pasti kemudahan sukan yang terletak berhampiran untuk digunakan.

KBS juga memperkenalkan Inisiatif Sukan Rahmah iaitu kesinambungan program Payung Rahmah bertujuan menjadikan barangan sukan lebih mampu milik, sekali gus langkah itu dapat menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam kemudahan sukan dan rekreasi.

Dua lagi aspek yang berada di bawah skop merakyatkan sukan adalah menjalankan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang serta menyediakan program skrin besar untuk memberi akses kepada orang ramai menikmati acara sukan secara langsung sambil memupuk minat bersukan dalam kalangan generasi muda.

Dalam skop memperkasakan golongan belia pula, KBS memberi nafas baharu kepada Rakan Muda yang menampilkan 10 Gaya Hidup bertujuan menarik minat belia masa kini.

KBS juga melancarkan Sekolah Rukun Negara bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia.

Bagi skop merakyatkan fasiliti KBS, empat perubahan utama sudah dilakukan dengan yang paling mendapat tumpuan adalah KBS membuka fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia kepada sekolah untuk hari sukan mereka. Stadium disediakan untuk sekolah ialah Stadium Nasional Bukit Jalil, Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara

KBS juga melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti iaitu untuk mendapatkan tempat latihan kekal bagi persatuan sukan kebangsaan dengan matlamat membangunkan prestasi dan bakat dalam sukan.

Pihak kementerian turut melancarkan penginapan Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence pada harga RM10 sehari untuk belia yang sedang menjalani latihan industri, sedang mencari pekerjaan atau mereka bekerja tetapi tidak mempunyai tempat tinggal.

Untuk keluarga pula, KBS melalui agensinya iaitu Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) menawarkan tapak Kem Wawasan untuk menggalakkan Perkhemahan Keluarga bertujuan menggalakkan keluarga meluangkan masa berkualiti bersama-sama sambil mempromosikan keseimbangan kehidupan bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 8:05 PM