RAMLI menyusun ayam segar dihantar pembekal di gerainya di Kampung Gong Pauh. FOTO Baharom Bakar
RAMLI menyusun ayam segar dihantar pembekal di gerainya di Kampung Gong Pauh. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Harga ayam segar di negeri ini turun sebanyak 15 peratus atau RM1.40 sekilogram daripada harga siling ditetapkan pada hari pertama penamatan subsidi sumber protein itu.

Tinjauan mendapati kebanyakan peniaga ayam menjual pada harga antara RM7.20 hingga RM7.99 sekilogram, berbanding harga siling ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram.

Peniaga ayam, Ramli Salleh, 63, berkata, walaupun kerajaan memansuhkan subsidi mulai hari ini, tetapi ada antara peniaga sudah menurunkan harga sejak Khamis lalu.

Katanya, kebanyakan peniaga terutama yang menjual ayam di bahu jalan menurunkan harga jualan antara 90 sen hingga RM1.10 sen sekilogram daripada harga siling ditetapkan kerajaan sejak Khamis lalu.

"Kita akan menurunkan harga jualan secara runcit jika memperolehi bekalan daripada pemborong pada harga lebih murah," katanya ketika ditemui di gerainya pagi ini.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Samsul Ibrahim, 47, berkata, harga ayam segar turun antara 60 sen hingga RM1 sekilogram sejak awal bulan lalu.

"Ada antara peniaga menjual harga ayam secara runcit sejak penurunan sumber protein itu di peringkat pemborong pada harga kurang daripada RM9 sekilogram sejak Khamis lalu," katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan penamatan subsidi harga ayam berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, penamatan subsidi ayam dilakukan selepas mengambil kira situasi semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.

Sementara itu, tinjauan mendapati ada antara peniaga menjual ayam segar secara runcit antara RM7.19 dan RM8.30 sekilogram.

Tinjauan juga turut mendapati ada antara peniaga menjual ayam segar secara borong pada harga RM6.80 sekilogram.

Seorang suri rumah, Zainun Batin, 63, berkata, semua pemborong dan peniaga ayam perlu mematuhi ketetapan kerajaan bagi menangani mengurangkan kos perbelanjaan rakyat yang terbeban berikutan kenaikan harga barangan.

"Kita juga berharap peniaga kedai makan turut menurunkan harga makanan yang berasaskan sumber protein itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 11:57 AM