KAMARUL Zaman ketika Majlis Penutupan Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brothers Motor 3.0 : Safety Ride di Lebuh Medini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman ketika Majlis Penutupan Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brothers Motor 3.0 : Safety Ride di Lebuh Medini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Saman bernilai lebih RM1.23 juta dibayar dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Program Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bersama Brothers Motor 3.0.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 10,669 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik dijelaskan pesalah trafik membabitkan jumlah keseluruhan RM1,233,700.

Beliau berkata, pihaknya memberi peluang kepada pesalah trafik menjelaskan saman dengan diskaun 50 peratus sepanjang program itu.

"Menerusi program ini, kita sudah bergerak ke 13 daerah dengan jarak 722 kilometer dan antara pengisiannya adalah memberi diskaun saman 50 peratus.

"Bukan pembayaran saman menjadi keutamaan dalam program ini, yang lebih penting berapa ramai Brothers Motor (belia bermotosikal) bersama-sama kita.

"Rata-ratanya, di 13 daerah yang kita pergi antara 500 hingga 1,000 Brothers Motor turut serta di setiap lokasi," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brothers Motor 3.0 : Safety Ride di Lebuh Medini di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar; Pengasas Brothers Motor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.

Kamarul Zaman, objektif utama program yang kali ketiga penganjurannya ini adalah untuk menyantuni masyarakat khususnya Brothers Motor bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

"Kita juga mahu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap golongan bermotosikal.

"Ia juga sebagai satu program anak muda untuk menjalankan aktiviti sukan bermotor yang bersih dan bebas dari gejala tidak sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 5:26 PM