SEBAHAGIAN daripada pesalah trafik yang ditahan di sekatan jalan raya.
SEBAHAGIAN daripada pesalah trafik yang ditahan di sekatan jalan raya.

Klang: Seramai 73 pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak menyerah diri dan menjelaskan kompaun di ibu pejabat polis trafik daerah Klang Selatan, Klang Utara dan Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, seramai 28 pesalah trafik hadir menyerah diri di daerah itu.

“Kami sudah memberi mereka masa yang cukup untuk membayar saman.

“Sembilan individu berusia 20 hingga 40 tahun ditahan ketika melalui sekatan jalan raya diketuai Inspektor Mohd Harman Mohd Haniff bermula jam 10 pagi hingga 5 petang di Bandar Puteri, di sini.

“Dua pesalah diberikan jaminan mahkamah sehingga Jumaat ini untuk melunaskan jumlah saman tertunggak manakala seorang lagi pesalah dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, seramai 45 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap dikesan menyerah diri dan menjelaskan saman dikenakan.

“Kami mengadakan sekatan jalan raya di Batu 4 Jalan Kapar di sini, bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi semalam. Kami menahan 11 pesalah trafik membabitkan penunggang motosikal.

“Mereka yang ditahan berusia dari 15 hingga 50 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Klang untuk dituduh. Ops hari ini (semalam) dapat menyelesaikan 29 waran tangkap,” katanya.

Sementara itu Ketua Trafik Daerah Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, sembilan pesalah trafik dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam membabitkan 15 waran tangkap dalam sekatan jalan raya di Jalan Bukit Kemuning, di sini, bermula jam 10 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 7:08 AM