Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Sebanyak 2.2 juta saman tertunggak bernilai sekurang-kurangnya RM300 juta direkodkan Polis Johor membabitkan pelbagai kesalahan trafik termasuk yang dikeluarkan ke atas warga Singapura bagi tempoh sejak 2014.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara saman paling banyak adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

Katanya, mengikut statistik sejumlah 2.3 juta saman trafik dikeluarkan sejak 2014 sehingga kini hanya 600,000 saman dijelaskan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 109,758 saman tertunggak membabitkan warga Singapura.

"Sebanyak 23.5 peratus saman warga Singapura ini sudah dijelaskan, manakala 76.4 peratus lagi belum dijelaskan," katanya kepada pemberita di acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, bermula hari ini sehingga Ahad ini, Polis Johor menawarkan pengurangan bayaran saman 50 peratus yang boleh dijelaskan di semua Balai Polis Trafik seluruh negeri.

Oleh itu, pihaknya menggesa pesalah trafik yang masih mempunyai saman tertunggak boleh mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka.

"Saya gesa masyarakat Johor khasnya, pergilah ke mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang mempunyai balai trafik bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang," katanya.

Mengulas mengenai program konvoi itu, Kamarul Zaman berkata, rombongan disertai 30 pegawai dan anggota Polis Johor menjelajah ke seluruh negeri membabitkan jarak 734 kilometer.

Katanya, beberapa program disusun atur sepanjang program ramah mesra dengan Brother Motor termasuk advokasi iaitu memberi nasihat dan menunjukkan cara pemanduan berhemah.

"Ini adalah cara terbaik polis mendekati kumpulan Brother Motor ini dan kita akan menjadikan mereka sahabat supaya mereka semua dapat mematuhi peraturan jalan raya.

"Setiap hari kita mendengar penunggang motosikal berdepan kemalangan, malah ada yang membabitkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 11:03 AM
KAMARUL Zaman ketika ditemui pada acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, IPK Johor. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman ketika ditemui pada acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, IPK Johor. FOTO Izz Laily Hussein