Noh Omar
Noh Omar
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kerajaan digesa mencari jalan untuk membantu pesawah yang terkesan dengan masalah hasil padi yang merosot selain kenaikan mendadak harga beras.

Gesaan itu dibangkitkan bekas Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani Tan Sri Noh Omar, menerusi video di laman Facebooknya, hari ini.

Kata beliau, masalah itu tidak boleh diselesaikan secara ad-hoc.

"Saya terpanggil untuk membuat video ini untuk berkongsi pengalaman sebagai anak pesawah, tetapi juga bekas menteri selama empat tahun.

"Saya sedih kerana di Tanjong Karang sendiri, dilihat hasil padi yang dahulu ramai (pesawah) dapat lapan hingga 10 tan, kini hanya tinggal dua ke tiga tan sahaja.

"Sudahlah hasilnya kurang, tiba-tiba hari ini dalam keadaan harga beras naik walaupun beras import, pesawah merasakan hasil padi yang dijual hanya sedikit tetapi harganya berkurangan," katanya.

Noh berkata, jika dahulu harga hasil padi dinaikkan sehingga RM1,700 tetapi turun semula sehingga RM1,250.

"Kalau kita nak bantu, bantu betul-betul. Jangan bantu orang kata 'kong kali kong', bantu separuh naik RM1,700 dan dua bulan kemudian tukar pula. Jadi pesawah mesti tidak puas hati.

"Kalau nak selesaikan masalah ini mesti dipanggil duduk berbincang. Jika menteri tak turun padang tidak mengapa.

"Bagi saya, kena panggil kartel-kartel ini iaitu pengilang padi, pengusaha baja, pengusaha racun dan pengusaha kilang. Kena panggil dan duduk bincang bagaimana cara membantu pesawah pesawah ini," katanya.

Dalam pada itu, Noh mengimbau kembali beliau mengawal harga ayam supaya tidak mahal iaitu tidak lebih daripada RM6.20 sekilogram.

"Saya panggil kalau tidak silap 13 syarikat besar untuk berbincang yang akhirnya keputusan dibuat untuk mengurangkan harga ayam pada ketika itu.

"Ketika itu juga, saya beritahu, kalau tauke ayam tidak boleh kawal harga ayam, saya tidak benarkan mereka eksport ayam itu ke Singapura," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan hari ini tidak hanya bercakap sahaja kerana rakyat ingin melihat tindakan dan hasil menyelesaikan yang bukan sahaja harga barang tetapi nasib pesawah yang hari ini mengharapkan daripada hasil padi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 3:43 PM