FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Golongan pesawah menuntut kerajaan bersikap adil dan bertimbang rasa ke atas mereka dalam menetapkan harga siling beras yang munasabah serta seimbang kepada semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, pihaknya kecewa atas tindakan pengilang yang menurunkan harga belian padi daripada RM1,700 per metrik tan ke harga lantai RM1,200 mulai hari ini.

Menurutnya, harga baharu itu adalah lebih rendah berbanding RM1,285 yang diterima pada musim lalu, menyebabkan pesawah berasa tertipu atas pengumuman kenaikan harga padi.

"Kerajaan dan pengilang perlu bersikap adil dan bertimbang rasa kepada petani, kerajaan perlu mengkaji semula bagi menetapkan harga siling beras yang munasabah. Harga padi dan beras perlu diselaraskan dan diseimbang kepada harga yang lebih adil antara petani, pengilang dan pengguna.

"Kerajaan perlu melihat kepentingan dengan adil bagi pengusaha beras tempatan disamping keperluan petani. Contohnya, kerajaan China memberi bantuan insentif kepada petani mereka sebagai galakan ke arah meningkatkan tahap pengeluaran dan industri pada negara itu.

"Sebaliknya, Malaysia kini secara tidak langsung menggalakkan rakyat membeli beras import kerana di pasaran kini, pengguna sukar mendapatkan beras tempatan dan yang ada beras import sahaja. Ini memberi keuntungan kepada pihak tertentu membuktikan kegiatan ini mungkin dikawal kartel," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, golongan pesawah menyuarakan rasa tidak puas hati susulan tindakan pengilang mengumumkan harga belian padi diturunkan kepada RM1,200 mulai hari ini, berbanding RM1,700 yang dinikmati mereka sebelum ini.

Mengulas lanjut Che Ani berkata, pihaknya turut kecewa apabila kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hanya memberi tumpuan kepada harga beras sahaja.

Katanya, kerajaan tidak langsung menyentuh soal nasib pesawah dan harga padi sedangkan mereka yang terhimpit dengan pelbagai isu padi sejak sekian lama.

"Pengumuman peruntukan RM400 juta subsidi beras import untuk kem tentera, polis, asrama sekolah dan hospital adalah bukan jalan penyelesaian jangka panjang, tetapi hanya langkah sementara dan tidak menyeluruh.

"Kerajaan nampaknya tidak sensitif mengenai isu industri padi yang kini rakyat mengetahui dikuasai kartel di setiap sudut bermula pembajakan, input benih dan baja, tuai padi, kadar potongan berat padi, harga padi dan kadar subsidi sehingga infrastruktur kawasan sawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:32 PM