Chan Foong Hin (dua dari kiri) ketika mengetuai operasi pasukan petugas khas Op beras putih tempatan (BPT) semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Chan Foong Hin (dua dari kiri) ketika mengetuai operasi pasukan petugas khas Op beras putih tempatan (BPT) semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Tindakan pemborong membeli padi di kilang pada harga RM1,200 bagi setiap satu tan tidak menjadi kesalahan kerana harga itu masih pada kadar harga lantai ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, bagaimanapun pihaknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap polemik itu kerana memahami masalah yang dihadapi pesawah.

Katanya, sebarang penyelarasan terhadap harga belian padi perlu seiring dengan harga runcit yang dikenakan terhadap pengguna bagi mengelakkan kerugian kepada pihak pemborong dan pengilang.

"Memang sekarang (belian padi) mengikut harga pasaran dan harga lantai kita tetapkan RM1,200, jadi kalau kilang atau pemborong tawarkan pada harga lantai sebenarnya kita tak boleh cakap berlaku kesalahan kan?

"Sebelum ini pernah naik sehingga RM1,700, jadi jangkaan yang besar itu (pesawah) akan dapat pulangan yang tinggi.

"Kita akan lihat dari semasa ke semasa dan kementerian sendiri sedang berbincang mengenai isu itu," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Pasukan Petugas Khas Op Beras Putih Tempatan (BPT) di beberapa kilang di negeri ini, hari ini.

Terdahulu, pesawah terutama dari negeri ini mengadakan bantahan aman sejak Sabtu lalu susulan tindakan pengilang yang kembali membeli padi pada harga antara RM1,200 hingga RM1,250 setan berbanding RM1,700 setan sebelum ini.

Situasi itu didakwa seolah-olah menindas pesawah apabila golongan itu terhimpit dengan pelbagai kos yang semakin meningkat.

Mengulas cadangan supaya kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dinaikkan, Chan berkata, kerajaan baru sahaja menaikkan kadar itu daripada RM360 setan kepada RM500 setan pada Ogos lalu.

"Jadi saya rasa dalam masa terdekat ini untuk naikkan lagi (subsidi) bukan sesuatu yang senang, namun kita akan melihat daripada sudut yang lain untuk memuaskan hati semua pihak dan pihak berkepentingan dalam industri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 4:31 PM