GAMBAR fail, sekdar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekdar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Jerlun: Pesawah di Kedah meminta kerajaan menilai semula harga lantai belian padi oleh pengilang di negeri itu iaitu pada kadar RM1,200 bagi satu tan yang disifatkan mereka sebagai terlalu rendah.

Mohd Sobri Osman, 60, berkata, harga itu, yang ditetapkan oleh kerajaan, perlu disemak semula agar nasib pesawah dapat dibela.

Beliau berkata sebelum ini, pengilang ada menaikkan harga belian padi kepada RM1,700 bagi satu tan namun telah bertindak menurunkannya semula kepada RM1,250 iaitu hampir mencecah harga lantai sejak 3 Oktober lepas.

"Kita minta jika tak dapat naikkan (harga belian) kepada RM1,700 bagi satu tan, dapat naikkan kepada RM1,500 bagi satu tan pun okey dah, kami bersyukur kerana harga dah lama tak naik-naik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi Lim Han Bon, 38, harga belian padi oleh pengilang ketika ini memusnahkan impian golongan pesawah untuk menikmati hasil yang lebih sedikit pada musim ini.

Beliau berkata, keadaan itu dilihat menekan pesawah kerana bukan semua memperoleh hasil yang memberangsangkan pada setiap musim berikutan faktor cuaca selain serangan serangga dan binatang perosak sejak kebelakangan ini.

"Harga (belian) RM1,250 ini tidak patut dan memang tak boleh buat bendanglah pasal kos tinggi, saya pun sempat rasa harga RM1,750 dalam dua minggu saja, hari tu rasa syok tapi sekarang RM1,250 …rasa nak teriak (menangis) pun ada," katanya.

Salleh Ali pula melahirkan kekecewaan terhadap pihak pengilang kerana telah bertindak menurunkan semula harga belian padi.

"Harga padi yang jatuh mengecewakan petani dan kami meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian segera untuk menaikkan semula harga demi kepentingan kami… kira-kira 60 peratus lagi kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) belum musim menuai, tengah seronok-seronok tiba-tiba harga jatuh merudum.

"Dalam keadaan harga input pertanian tengah naik, kos operasi meningkat dari mula penanaman hingga menuai, siapapun tak ambil peduli, jadi bila harga kembali jatuh macam ni, kami terpaksa menanggung kos tinggi dan hasil pun sedikit berbanding usaha dan masa kami selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 8:52 PM