BERNAMA

Putrajaya: Memasuki tahun kedua melaksanakan tanggungjawab membentang belanjawan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan beliau telah bersedia dan akan membentang perancangan belanjawan negara itu dengan penuh bersemangat.

Ditanya perasaannya sebelum membentangkan belanjawan, Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini hari ini, secara ringkas berkata: "Semangat… semangat. Pasti okay".

Pada jam 4 petang ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna ungu muda bersamping dan mengenakan selempang Palestin, kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum bergerak meninggalkan perkarangan masjid itu.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada penduduk setempat serta penjawat awam, dan mendengar khutbah bertajuk Solidariti Pertahankan Palestin yang disampaikan Ketua Imam Masjid Mahmoodiah Abu Bakar Mohd Noor.

Beliau yang tiba di masjid itu pukul 12.55 tengah hari, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan pihak pengurusan masjid.

Anwar kemudiannya menjamu selera dengan menikmati asam pedas dan kari ikan di Medan Selera Masjid Mahmoodiah yang terletak dalam kawasan masjid itu.

Perdana Menteri turut melancarkan Tabung Palestin Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama (JPM-HEA).

Aktiviti makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat adalah program rutin mingguan Anwar sejak menerajui Kerajaan Perpaduan selepas Kabinet dibentuk pada 2 Disember lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memeriksa dokumen sambil dibantu Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi (FED), Dr Mastura Abdul Karim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican (kanan) semasa melakukan tinjauan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Kementerian Kewangan hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memeriksa dokumen sambil dibantu Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi (FED), Dr Mastura Abdul Karim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican (kanan) semasa melakukan tinjauan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Kementerian Kewangan hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 2:48 PM