GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Comel dan bijak. Malangnya kanak-kanak lelaki diberi nama Mikhail Qayyum berusia tiga tahun ini dibuang ibu kandung sejak bayi.

Difahamkan kanak-kanak ini ditinggalkan ibu kandung kepada seorang wanita tempatan ketika Mikhail berusia tujuh hari.

Ibu kanak-kanak itu yang turut meninggalkan surat pengesahan kelahiran hospital kemudian lesap tanpa menghiraukan nasib zuriatnya.

Wanita tempatan yang menjaga bayi terbabit, Nurul Jehan Mohd Sharif berkata,

bayi itu diserahkan kepadanya tiga tahun lalu oleh wanita dikenali sebagai Narun berasal dari Kemboja.

Menurutnya, wanita terbabit bagaimanapun tidak pernah datang untuk menjenguk dan mengambil tahu keadaan anaknya itu.

Dia yang menetap di Pulau Meranti, Puchong memaklumkan sudah membuat permohonan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang bagi mendapatkan status penjagaan terhadap kanak-kanak itu.

Katanya, dia dalam proses mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi kanak-kanak itu.

"Dokumen itu penting bagi memudahkan Mikhail Qayyum untuk mendaftar di sekolah dan mendapat rawatan di hospital," katanya.

Sementara itu, pelindung JKM Sepang, Nur Ilyana Abdullah berkata, pihaknya menerima status permohonan penjagaan kanak-kanak itu pada 20 Februari lalu.

Katanya, kelahiran bayi itu tidak didaftarkan dan ibu kandung kanak-kanak itu hanya menyerahkan pengesahan kelahiran dari Pusat Pakar Wanita dan Bersalin Mutiara, Puchong Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ibu kanak-kanak itu diminta untuk menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang di talian 03-87061026," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 3:02 PM