Suraya Roslan


Petaling Jaya: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, yang diperintah membela diri atas tuduhan kes dadah berharap dapat pulang ke Hospital Ulu Kinta, Perak untuk menyambung semula rawatan.

"Saya bergantung kepada ubat yang banyak. Sebenarnya saya kena sambung rawatan balik di Tanjung Rambutan (Hospital Bahagia Ulu Kinta).

"Proses mahkamah ini mengambil masa lebih daripada yang dijangka, saya kena habiskan proses mahkamah dan harap ia habis dengan baik.

"Harapnya saya akan dapat pulang segera ke Tanjung Rambutan untuk habiskan rawatan," katanya ketika ditemui media selepas prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen hari ini.

Yasin turut mengesahkan dia kini mengambil 10 tablet sehari merangkumi enam jenis ubat.

"Ubat itu untuk antipsikotik, penyakit jantung, stabilkan emosi dan kegelisahan," katanya.

Yasin, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, abang penyanyi itu, Zain, 51, berharap prosiding bela diri akan terus berjalan lancar dan memberi hasil positif.

"Ia supaya Yasin dapat kembali (ke Hospital Bahagian Ulu Kinta) dan diberi rawatan dengan sempurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 5:59 PM
PENYANYI dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman keluar dari Mahkamah Sesyen selepas hakim Hakim, Faiz Dziyauddin memutuskan beliau diperintah untuk membela diri atas tiga tuduhan kes dadah. FOTO Genes Gulitah
PENYANYI dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman keluar dari Mahkamah Sesyen selepas hakim Hakim, Faiz Dziyauddin memutuskan beliau diperintah untuk membela diri atas tiga tuduhan kes dadah. FOTO Genes Gulitah