YASIN didakwa atas tiga pertuduhan kes dadah. FOTO Arkib NSTP
YASIN didakwa atas tiga pertuduhan kes dadah. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Petaling Jaya: Nasib penyanyi lagu Mimpi Laila, Yasin Sulaiman akan diketahui hari ini sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tiga pertuduhan kes dadah.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin pada 2 petang.

Pada 15 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas selesai memanggil tujuh saksi dalam perbicaraan yang bermula 28 Ogos lalu.

Antara saksi dipanggil adalah pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan termasuk Dr Brian Ho dan Dr Derrick Chow, masing-masing dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun, peguam Muhammad Yasin, Nur'Ain Shahiera Khalid, mengesahkan tidak bercadang untuk memanggil mana-mana saksi ditawarkan pendakwaan pada prosiding bela diri.

Yasin, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Komposer itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 9:27 AM