(Dari kiri) Nadia Azmi, Dr Arifin Fii, Khairil Azizi dan Dr Marewa Glover. - Kredit gambar fail (NSTP)
(Dari kiri) Nadia Azmi, Dr Arifin Fii, Khairil Azizi dan Dr Marewa Glover. - Kredit gambar fail (NSTP)
Nur Amirah Abd Rani

PAKAR terapi ketagihan memberi amaran bahawa Akta Generasi Penamat Rokok atau dasar Generation End Game (GEG) boleh menjadi terlalu drastik untuk Malaysia.

Presiden Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA) Dr Arifin Fii berkata, peralihan langkah kawalan tembakau semasa kepada dasar larangan yang lebih menyeluruh melalui dasar GEG tidak akan berhasil, berikutan ketidakcekapan langkah sebelumnya.

Melalui perkongsiannya di Facebook Live NST Insights turut menampilkan panel pakar dan orang awam untuk membincangkan hala tuju GEG sebagai penyelesaian yang berdaya maju untuk Malaysia.

"Langkah kawalan tembakau di Malaysia masih baharu berbanding negara seperti New Zealand dan pematuhan rakyat juga masih sangat rendah. 

"Walaupun berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk kempen kawalan tembakau, kadar kelaziman merokok di Malaysia hanya menurun sebanyak 1.8 peratus dalam tempoh sembilan tahun (2011-2019)," kata Dr Arifin.

Presiden Malaysian Vapers Alliance, Khairil Azizi, turut bersetuju dengan Dr Ariffin kerana  kebanyakan perokok bertukar menjadi vaper. 

"Pada pendapat saya, GEG tidak akan berkesan kerana ia menyamakan vape dan rokok, yang terang-terangan membawa mesej yang salah," kata Khairil. 

Berdasarkan pengalaman Khairil, dia beralih daripada menghisap satu pek rokok setiap dua hari untuk menghentikan tabiat itu sepenuhnya, dengan vape sebagai pengganti alternatif.

Pengarah Centre of Research Excellence: Indigenous Sovereignty & Smoking dari New Zealand, Dr Marewa Glover, turut berkongsi pendapatnya tentang dasar GEG. 

Pakar sains tingkah laku dalam usahanya untuk mengurangkan bahaya daripada merokok selama lebih 25 tahun berkata, pada tahun 1990, New Zealand meluluskan Akta Alam Sekitar Bebas Asap Rokok yang komprehensif. 

"Terdapat banyak pindaan selama ini dan New Zealand telah menyaksikan pengurangan secara beransur-ansur dalam tabiat merokok," katanya.

Oleh itu, di lokasi tertentu di New Zealand, agak jarang untuk melihat individu menghisap rokok pada hari ini. 

Namun begitu, kebimbangan asas untuk GEG ialah perubahan sedemikian tidak boleh dijangka dilihat dalam sekelip mata.

Di New Zealand, vape dilihat sebagai alat pengurangan kemudaratan, atau alternatif yang kurang mudarat untuk merokok dan alat yang berkesan untuk berhenti merokok.

GEG di Malaysia, bagaimanapun, melarang kedua-dua aktiviti merokok dan vape, yang dikhuatiri boleh menyebabkan peningkatan aktiviti pasaran gelap.

"Penyelesaian yang disediakan tidak sepatutnya menyebabkan kemudaratan lain. Tetapi membantu orang ramai mengubah tabiat untuk mengurangkan risiko," katanya.

Dalam satu serahan kertas kerja berasingan kepada parlimen New Zealand, beliau menggariskan antara implikasi lanjut larangan menyeluruh adalah termasuk risiko lebih banyak rompakan (disebabkan aktiviti pasaran gelap), peningkatan perbelanjaan akibat pemantauan dan polisi serta hukuman yang tidak perlu dan risiko kepada perokok yang berhadapan dengan  kesihatan mental.

Secara keseluruhannya, Dr Marewa tidak bersetuju dengan pendekatan larangan, yang bermula dengan andaian ideologi bahawa penggunaan bahan adalah buruk dan satu-satunya penyelesaian adalah untuk memaksa individu untuk berhenti menggunakannya serta merta. 

Sebaliknya, dia menyokong pendekatan pengurangan kemudaratan  dengan menggalakkan  peralihan kepada produk yang kurang mudarat. 

Penilaian semula pengurangan mudarat 

GEG ialah dasar baharu yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mewujudkan generasi baru yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik terutama generasi muda yang lahir selepas 2007.

Ketika ini, dasar ini sedang disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan dijangka dibentangkan semula dalam sidang parlimen pada masa akan datang.

Menurut Dr Marewa, kebimbangan utama GEG adalah larangan ke atas produk alternatif kurang mudarat yang terbukti berkesan mengurangkan kadar merokok di negara seperti New Zealand, United Kingdom dan Jepun. 

"Apa yang perlu difahami ialah proses pembakaran dan menghisap asap tembakau mendatangkan kemudaratan. Bahan-bahan ini (karbon monoksida dan tar) tidak wujud di dalam bahan alternatif yang mengurangkan risiko," katanya. 

Satu kertas penyelidikan dari Public Health England mendapati bahawa vape sekurang-kurangnya 95 peratus kurang mudarat daripada merokok dan boleh membantu perokok untuk berhenti.

Selain itu, badan pemikir yang berpangkalan di Malaysia iaitu Pusat Penyelidikan dan Maklumat Datametrik (DARE) melaporkan bagaimana vape boleh mengurangkan populasi perokok di Malaysia kepada empat juta menjelang 2025.

"Pengurangan kemudaratan bukanlah konsep yang sangat baru di Malaysia," kata Dr Arifin.

Sebagai pakar terapi ketagihan, beliau berkongsi cara pengurangan mudarat digunakan dalam merawat penagih heroin, dengan membantu mereka beralih daripada heroin kepada produk yang kurang mudarat.

Walaupun pengurangan kemudaratan adalah sebahagian daripada strategi kawalan tembakau Malaysia, penggantian nikotin adalah terhad kepada gula getah nikotin atau patch nikotin, manakala alat pengurangan nikotin lain seperti vape tidak digalakkan.

Menurut Dr Arifin, ini mungkin disebabkan oleh kekurangan maklumat atau kesedaran tentang konsep pengurangan mudarat dan cara alternatif seperti vape yang disalah tafsir.

"Apa yang saya cadangkan ialah kita meneliti semula dan menyemak dasar paling sesuai dengan Malaysia yang boleh membawa hasil lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 11:40 AM