Aizat Sharif

Kangar: Bekas anggota tentera yang menikam mati isterinya di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, Arau semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman bermula hari ini hingga 7 Oktober itu dikeluarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Suspek berusia 38 tahun dipercayai membunuh Munirah Abu Bakar, 31 yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan menikam mangsa di bahagian kiri dada isterinya dengan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan reman suspek.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah itu tatkala mangsa sedang dalam bersiap untuk keluar bertugas.

Suspek yang 'naik angin' selepas itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.

Selepas membunuh mangsanya, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal, kemudian menghantar dua anak berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.

Selepas itu, suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 10 pagi.

SUSPEK di Kompleks Mahkamah Kangar, 1 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP
SUSPEK di Kompleks Mahkamah Kangar, 1 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 10:28 AM