Mas Imran (kanan) menyerahkan bas mini untuk kegunaan pelajar cacat penglihatan di Sekolah Yayasan Pelita Harapan, Mataram, Lombok. FOTO Ihsan Pembaca
Mas Imran (kanan) menyerahkan bas mini untuk kegunaan pelajar cacat penglihatan di Sekolah Yayasan Pelita Harapan, Mataram, Lombok. FOTO Ihsan Pembaca

Mataram (Lombok), Indonesia: Penghuni Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan, di sini kini mampu tersenyum girang apabila menerima hadiah istimewa iaitu sebuah bas mini untuk membawa mereka ke mana-mana destinasi ketika melakukan aktiviti harian.

Sebelum ini pelajar cacat penglihatan itu terpaksa bersesak sambil berdiri di atas lori satu tan yang disewa untuk pergi ke sesuatu lokasi termasuk memenuhi undangan majlis tertentu di luar asrama.

Kesulitan yang dialami 70 pelajar sekolah berkenaan disaksikan sendiri Pengurus Besar Pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Mas Imran Adam ketika menyertai misi kemanusiaan di pulau ini sejurus selepas gempa bumi pada 2019.

Susulan itu, beliau mengambil inisiatif bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) untuk mengumpul dana bagi membeli dan menghadiahkan bas mini berkenaan kepada sekolah terbabit.

Mas Imran berkata, kesulitan pelajar buta yang dilihat itu amat menyentuh hatinya dan peserta misi kemanusiaan yang ketika itu hadir di sekolah itu untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Pulau Lombok pada masa itu.

"Melihat keadaan itu kami peserta misi kemanusiaan pada masa itu berazam membantu pelajar cacat penglihatan berkenaan yang masih tidak mempunyai pengangkutan sendiri. Mereka menyewa lori jika untuk ke mana-mana pada masa itu.

"Kesusahan mereka menjadi pencetus kepada kami sebelum satu tabung dilancarkan untuk membiayai dana dan kemudian berjaya membeli sebuah van dengan harga RM140,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyerahkan van sumbangan Econsave dan MyCARE kepada Pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Fatani di sekolah itu pada Khamis.

Turut hadir Presiden Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Johor, Rozi Abd Ghani dan Presiden Kelab Majestic Motor Group (MG), Zulkarnain Isahak.

Seramai 17 peserta terdiri sukarelawan MyCARE, Econsave dan MG menyertai Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di sini, mulai 27 sehingga 30 September.

Pada majlis itu, MyCARE dan Econsave turut menyampaikan sumbangan enam set al-Quraan yang mengandungi 18 naskhah kitab suci menggunakan format Braille untuk kegunaan pelajar sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Mas Imran berkata, van berkenaan digunakan untuk membawa pelajar di sekolah itu untuk menghadiri aktiviti di luar termasuk memenuhi undangan daripada pihak luar.

Sementara itu Fatani, 49, bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan van berkenaan yang boleh memuatkan 19 pelajar dalam satu masa.

"Sebelum ini jika mahu ke mana-mana, kami hanya menyewa lori untuk lawatan belajar di luar kelas atau memenuhi undangan pihak luar atau mahu ke mana-mana. Kadang-kadang pihak yang mengundang ada menyediakan kenderaan dan jika tidak ada, kami sewa lori," katanya.

Menurutnya, terdapat 70 pelajar cacat penglihatan berusia antara tujuh hingga 20 tahun yang belajar di sekolah berkenaan dengan 36 daripadanya menghuni di situ manakala selebihnya berulang alik.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis penyerahan van tersebut, Rozi berkata, Allah menguji pelajar terbabit apabila tidak dapat melihat seperti rakan sebaya yang lain, namun mereka kuat semangat dan jiwa.

"Ini beri kekuatan juga kepada kami untuk terus datang menyantuni anak-anak di sini. Mungkin di akhirat nanti kamu yang akan menarik tangan kami ke syurga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 11:04 AM