MAS Imran (kiri) dan Rozi meninjau keadaan asrama perempuan cacat penglihatan di Sekolah Yayasan Pelita Harapan, Kota Mataram, Lombok, Indonesia.
MAS Imran (kiri) dan Rozi meninjau keadaan asrama perempuan cacat penglihatan di Sekolah Yayasan Pelita Harapan, Kota Mataram, Lombok, Indonesia.

Lombok, Indonesia: Selepas ditimpa bencana gempa bumi kira-kira lima tahun lalu, pelajar sebuah sekolah khas untuk cacat penglihatan di sini, kini sekali lagi diuji apabila asrama mereka rosak teruk diserang anai-anai sehingga tidak boleh didiami lagi sejak setahun lalu.

Berikutan itu, seramai 12 pelajar perempuan berusia tujuh hingga 20 tahun kini terpaksa menumpang berteduh dalam sebuah bilik kecil di ruang dapur asrama Sekolah Yayasan Pelita Harapan Kota Mataram.

Sekolah pelajar istimewa yang diasaskan dan diuruskan Yayasan Mahsyar sejak 1985 itu, mempunyai 70 pelajar lelaki dan perempuan termasuk 36 orang daripada mereka tinggal di asrama manakala selebihnya berulang-alik dari rumah keluarga atau saudara-mara masing-masing.

Pengurus Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Johor Rozi Abdul Ghani berkata, kehidupan pelajar sekolah itu agak menyedihkan dan aktiviti harian mereka sering terganggu berikutan suasana asrama dan persekitarannya yang kurang sempurna kesan akibat gempa bumi dan pelbagai kekangan lain.

"Mereka terpaksa tinggal berhimpit dalam sebuah bilik kecil di bahagian dapur di mana di situlah mereka tidur, makan, memasak dan mengulangkaji pelajaran, selepas asrama mereka rosak akibat gempa bumi dan kini diserang pula oleh anai-anai.

"Menerusi tinjauan kami hari ini dapati kerosakan yang berlaku amat teruk. Kayu dan siling selain tingkap sudah rosak manakala sistem pendawaian elektrik termasuk kemudahan seperti katil dan tilam perlu ditukar dengan yang baharu.

"Asrama itu kini terpaksa dikosongkan dan anggaran untuk kos baik pulih kira-kira RM50,000," katanya selepas meninjau keadaan asrama sekolah itu pada Jumaat lalu.

Turut hadir, Pengurus Besar Pasar Raya EconsaveCash & Carry (Econsave) Mas Imran Adam dan Presiden Kelab Majestic Motor Group (MG) Zulkarnain Ishak.

Seramai 17 sukarelawan terbabit dalam Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di Lombok, Indonesia dari 27 sehingga kelmarin.

Rozi berkata, pihaknya dengan kerjasama Econsave dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini iaitu Das Berbagi akan mencari jalan untuk mengutip dana secepat mungkin bagi membaik pulih asrama berkenaan.

Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Fatani, 39, berkata, pihaknya bimbang asrama berkenaan berisiko untuk runtuh pada bila-bila masa dan strukturnya kini bertambah teruk.

"Asrama ini rosak ketika dilanda gempa bumi dan tidak lagi digunakan sehingga kayu pada bahagian siling rosak dimakan anai-anai. Keadaan bertambah teruk apabila gempa bumi kecil berlaku tiga minggu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 7:01 AM