Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama Hajiji Noor serta barisan kenamaan lain mendahului perarakan kontinjen sempena Majlis Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M bermula dari Padang Merdeka ke Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama Hajiji Noor serta barisan kenamaan lain mendahului perarakan kontinjen sempena Majlis Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M bermula dari Padang Merdeka ke Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
BERNAMA

Kota Kinabalu: Usaha memupuk perpaduan ummah menuntut keikhlasan dan persefahaman bagi memastikan ia terus terpelihara sekali gus mengekalkan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat terutama di Sabah dan Malaysia.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata perpaduan sangat penting kerana ia adalah faktor utama yang menjadi tunjang kepada kelestarian negeri serta negara dalam melakar kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru beliau berkata, pengukuhan persaudaraan dalam kalangan umat Islam dan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa dan suku kaum, budaya serta agama perlu diperkasa secara berterusan.

"Perpaduan itu menuntut keikhlasan dan persefahaman daripada kita semua dan usaha menyemai perpaduan perlu dilakukan, selami (hayati sunnah) Baginda Rasulullah SAW.

"Jadikan kemanisan iman dan kebahagiaan hidup kita ini sesuai dengan matlamat hidup sebagai hamba Allah. Saya juga mengajak hadirin sekalian menzahirkan kasih sayang kepada Baginda Rasulullah SAW," katanya dalam perutusan pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan betapa pentingnya perpaduan kerana persengketaan boleh merugikan rakyat, sekali gus membawa kepada perpecahan dan kehancuran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 3:18 PM