BAJU dan parang milik seorang lelaki yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
BAJU dan parang milik seorang lelaki yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Dendam lama kerana pernah dipukul mangsa menyebabkan seorang lelaki bertindak menyerang dan menetak pemandu lori dengan parang di Pandan Perdana di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, wanita berusia 40 tahun menerima mesej WhatsApp daripada suaminya berumur 43 tahun mengatakan diserang menggunakan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan dua kesan tetakan di belakang badan.

"Mangsa diserang ketika berada di rumah lamanya di Pandan Perdana untuk mengambil surat.

"Susulan itu, pada jam 12.30 tengah malam semalam, sepasukan anggota polis Ampang membuat tangkapan terhadap suspek iaitu lelaki tempatan berusia 28 tahun yang berkerja sebagai pengutip sampah di dalam kereta berhampiran Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, turut dirampas sehelai baju berwarna putih dan sebilah parang berhulu hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis Meth, AMP dan THC.

"Punca kejadian adalah dipercayai akibat dendam lama selepas suspek mendakwa dipukul mangsa bersama rakan-rakannya," katanya.

Beliau berkata, permohonan tahanan reman ke atas suspek dibenarkan selama seminggu bermula semalam hingga 3 Oktober ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:48 PM