Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sungai Tebrau berhampiran Kampung Bakar Batu, di sini, dipenuhi timbunan sampah susulan kejadian air pasang yang berlaku di negeri ini.

Tinjauan di lokasi itu mendapati selain bau sungai seakan hamis serta permukaan air berminyak, sampah seperti bekas polisterin, botol air, peti sejuk dan perabot timbul serta tersekat di tebing sungai apabila air mulai surut.

Penduduk Kampung Bakar Batu, Zahari Abdullah, 56, berkata terdapat lima kampung mengelilingi sungai ini dengan setiap daripadanya mempunyai kira-kira 300 penduduk dengan hanya tiga peratus masih menjadi nelayan.

"Pada 1990-an, kawasan ini adalah hutan paya bakau sebelum ia mula ditambak bagi projek pembangunan di kawasan sekitar. Dahulu, kalau baling syiling, boleh nampaklah di dalam air sungai yang warnanya hijau biru.

"Jika lihat dari Kampung Seri Purnama, apabila air hujan melimpah, tebing sungai akan merekah dan sampah tersekat boleh terlingkup dan dilihat sama seperti pulau hanyut," katanya.

Penduduk pangsapuri Seri Iskandar, Mohd Azli Abdul Halil, 40, berkata, dia sudah menetap di kediaman itu sejak lebih lapan tahun.

"Ia bukan perkara baharu. Kawasan setinggan dibina warga asing di tepi sungai itu antara penyumbang sampah.

SAMPAH di sekitar Sungai Tebrau berhampiran Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
SAMPAH di sekitar Sungai Tebrau berhampiran Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

"Akibat ketiadaan kutipan sampah berjadual, sampah hanya dibuang dari luar tingkap rumah dan terus ke permukaan sungai," katanya.

Sementara itu, kontraktor pembersihan dilantik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jefri Ishak, 40, berkata Sungai Tebrau di bawah pengurusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tetapi lantikan kerja pembersihan itu adalah inisiatif MBJB bermula awal November ini bagi tempoh tiga tahun.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, MBJB akan melaksanakan Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Tebrau yang menjadi antara sungai utama di bandar raya ini.

Beliau berkata, pihaknya menyedari baha3wa ekosistem sungai dan sumber air di bandar raya mesti dipelihara untuk generasi akan datang.

"Kawasan liputan lembangan Sungai Tebrau yang terletak dalam kawasan MBJB adalah seluas 18,955 hektar iaitu 75 peratus daripada luas keseluruhan lembangan sungai.

"Sehubungan itu, objektif kajian ini bagi menyediakan pelan tindakan pelaksanaan dan pengurusan meliputi pemeliharaan dan peningkatan kualiti alam sekitar Lembangan Sungai Tebrau.

"Ia bagi meningkatkan potensi koridor sungai sebagai rangkaian hijau bertujuan sebagai rekreasi, pelancongan dan biodiversiti, selain kajian ini dijangka siap menjelang November 2022," katanya.

Mengikut data JPS, sehingga 12.05 tengah hari ini, bacaan paras air menunjukkan penuruan di beberapa sungai di negeri ini antaranya Sungai Bekok di Bandar Yong Peng, Batu Pahat, menunjukkan paras 2.1 meter, manakala Sungai Skudai di Kampung Pasir, di sini, pada paras 0.45 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:50 PM