Siti Sofia Md Nasir


GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) semalam mendedahkan satu lagi kawasan tanah paya bakau di Batu Maung di sini, diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan dijadikan kawasan pembuangan sisa industri.

Pegawai Penyelidik SAM, S Mageswari berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk minggu lalu yang melihat kepulan asap dari kawasan tanah bakau terletak dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) itu.

“Hasil semakan, kami menjumpai kawasan tanah bakau ini yang dijadikan tempat pembuangan sisa industri dan ia dipercayai sudah diceroboh sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sangat terkejut kerana tanah bakau yang dimiliki Jabatan Perikanan Malaysia itu langsung tidak dipantau pihak bertanggungjawab sehingga menjejaskan ekosistem hutan paya bakau berkenaan,” katanya, semalam.

Terdahulu, Mageswari membawa 20 pengamal media meninjau keadaan hutan paya bakau seluas hampir satu hektar itu yang kini dijadikan tapak lambakan sisa industri pemaju pembangunan.

RAKAN SAM, Ravinder Singh menunjukkan kesan kebakaran yang memusnahkan pokok bakau di kawasan yang diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
RAKAN SAM, Ravinder Singh menunjukkan kesan kebakaran yang memusnahkan pokok bakau di kawasan yang diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan hutan paya bakau itu terletak tiga kilometer dari lokasi sebuah lagi kawasan hutan paya bakau ditambak secara haram yang pernah didedahkan sebelum ini.

Disember lalu, Harian Metro melaporkan mengenai kerja tanah ‘misteri’ di kawasan tanah bakau milik agensi kerajaan di Batu Maung.

Hutan paya bakau seluas empat hektar yang disewakan kepada sebuah syarikat dipercayai ditambak secara haram.

Sementara itu, Mageswari berharap kerajaan negeri dapat membantu melindungi kawasan hutan paya bakau yang semakin terancam di Pulau Pinang.

“Di Batu Maung ini, hutan paya bakau satu-satunya kawasan hijau yang tinggal, tetapi malangnya ia semakin terancam kerana gagal dipulihara.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab sentiasa melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menceroboh dan membuang sisa sampah di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:40 AM