MUHAMMAD Sanusi  dijangka memegang portfolio hasil bumi dan sumber asli, hal ehwal tanah, perancang negeri dan perancang ekonomi negeri. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Sanusi dijangka memegang portfolio hasil bumi dan sumber asli, hal ehwal tanah, perancang negeri dan perancang ekonomi negeri. FOTO Amran Hamid
Yusmizal Dolah Aling


SEMUA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dijangka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah esok.

Sumber berkata, senarai berkenaan sudah diperkenan baginda untuk membantu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mentadbir negeri itu.

Difahamkan, mereka yang akan dilantik ialah Datuk Ku Rahman Ku Ismail (Guar Cempedak-Bersatu), Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai-Pas), Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang-Umno), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam - Bersatu), Datuk Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas-Pas), Datuk Najmi Ahmad (Kupang-Pas), Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang-Pas), Robert Ling Kui Ee (Sidam-Bebas) dan Mohd Firdaus Ahmad yang juga Adun Kuah.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Speaker yang juga Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat disebut-sebut dilantik sebagai Speaker dan seorang lagi bekas Exco iaitu Datuk Norsabrina Mohd Noor yang juga Adun Bandar Baharu dikatakan akan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Mengulas mengenainya, sumber berkata, ini adalah kerana pelantikan ini mengambil kira kuota politik dan bukannya merit menyebabkan bekas Exco yang menjaga portfolio telekomunikasi sejak 2013 itu tidak terpilih.

"Jika tidak, kita akan melihat satu pasukan berpengalaman mengurus tadbir negeri ini kerana kebanyakannya berpengalaman baik ketika pentadbiran Barisan Nasional atau Pakatan Harapan sebelum ini," katanya.

Muhammad Sanusi dijangka memegang portfolio hasil bumi dan sumber asli, hal ehwal tanah, perancang negeri dan perancang ekonomi negeri seperti amalan Menteri Besar yang sebelum ini.

Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas mendapat sokongan 23 Adun minggu lalu disusuli majlis angkat sumpah Sanusi sebagai Menteri Besar ke - 14, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 10:30 AM