GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang lelaki membuat laporan palsu mendakwa dia disamun selepas melesapkan wang berjumlah RM5,100 hasil perniagaan buah-buahan yang dikongsi bersama rakannya.

Perbuatan suspek berusia 29 tahun yang juga pekerja kilang itu terbongkar selepas polis yang menjalankan siasatan mendapati dia membuat laporan palsu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, lelaki berkenaan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat laporan palsu.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuching atas kesalahan itu pada 26 Oktober ini.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, suspek mengaku membuat laporan palsu dan kejadian yang dilaporkan adalah rekaan semata-mata hasil daripada soal siasat yang dijalankan oleh detektif Cawangan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

"Dia sebenarnya sudah membelanjakan wang hasil jualan buah-buahan iaitu perniagaan bersama rakannya untuk mengubah suai kenderaan.

"Pada 7 September lalu suspek membuat laporan polis mendakwa disamun dua lelaki tidak dikenali di tepi jalan kawasan Matang ketika memberhentikan kenderaan membuang air kecil jam 8 malam," katanya.

Katanya, dia mendakwa dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti untuk meminjam pemetik api.

"Ketika dia ke kereta untuk mengambil pemetik api, salah seorang lelaki itu memukul belakang kepalanya dengan topi keledar.

"Seorang lagi mengacu pisau di rusuk kanan sebelum disamun," katanya.

Sehubungan itu, Lim menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali mencuba membuat laporan palsu.

"Polis memandang serius perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang berbuat sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 11:10 AM