SUKARELAWAN membersihkan rumah mangsa banjir pada Program Misi Bantuan Banjir Perak di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang Pasir, Bagan Serai, hari ini. FOTO Bernama
SUKARELAWAN membersihkan rumah mangsa banjir pada Program Misi Bantuan Banjir Perak di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang Pasir, Bagan Serai, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian berkurangan kepada 50 orang daripada 17 keluarga, malam ini, berbanding 160 orang daripada 43 keluarga, pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, semua mangsa kini masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, setakat 7 malam.

"Sementara itu, sebuah lagi PPS di daerah berkenaan iaitu di SK Changkat Lobak yang menempatkan 110 daripada 26 keluarga ditutup sepenuhnya pada 5 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Yayasan Setia Negara, sebuah badan bukan kerajaan, turut turun padang dengan menghantar sukarelawan untuk membantu mangsa terbabit bagi meringankan beban mereka.

Pengerusinya, Dr Afif Bahardin, ketika ditemui pada Program Misi Bantuan Banjir di PPS Banjir di SK Changkat Lobak, berkata seramai 60 sukarelawan Yayasan Setia Negara, Sukarelawan Pemuda Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai program membersihkan rumah penduduk di Kampung Tersusun Batu 6 ½, Matang Pasir, dekat sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu itu berkata, pihaknya turut menyumbang barangan keperluan dan pakaian perlindungan diri kepada petugas di PPS untuk memudahkan tugas mereka.

Sementara itu, banjir lapan hari di Mukim Beriah, Alor Pongsu, memberikan kesan buruk seperti kediaman dipenuhi kotoran dan lumpur selain mengakibatkan kerugian termasuk kepada seorang penternak ayam Mohammad Nasir Ismail, 41.

Beliau berkata, 24 ayam kampung dan kacukan Arab bernilai hampir RM1,500 yang diternaknya hilang atau mati dibawa arus deras pada Jumaat lalu.

"Dalam beberapa jam sahaja, air naik mendadak dan menenggelamkan reban ayam.

"Malah ada ayam baka Arab yang mati dimakan ular sawa," katanya yang menjual ternakan itu di Taiping, Kuala Kangsar dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 11:19 PM