GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak menurun, manakala di Perak kekal setakat 8 malam ini.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan 134 mangsa daripada 46 keluarga yang terjejas di Beaufort masih ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak Ahad lepas susulan banjir akibat hujan lebat berterusan.

Kesemua mangsa dari lima kampung di Beaufort dan pemantauan masih diteruskan di lokasi "hotspot" daerah berkenaan.

Di Sarawak, hanya lapan mangsa banjir daripada tiga keluarga iaitu dari Kampung Buluh Balui, Kampung Batu Danau serta Kampung Pandak masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui.

Di Perak, jumlah mangsa kekal dengan 38 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah di daerah Kerian yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Changkat Lobak.

Keadaan banjir di Kampung Matang Tengah semakin surut, namun hujan lebat sejak awal pagi hingga petang tadi menyebabkan PPS tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 11:19 PM