Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Malaysia menggesa negara maju supaya memenuhi komitmen untuk menggerakkan AS$100 bilion (RM468 bilion) setahun bagi menyokong usaha negara sedang membangun mencapai cita-cita iklim mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mereka perlu menyatakan komitmen bahawa trilion dolar setiap setahun akan diperlukan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, perbincangan mengenai cita-cita iklim tanpa ketiadaan kesaksamaan, keadilan dan cara yang diperlukan untuk membantu serta memperkasa negara membangun melakukan usaha lebih besar adalah tindakan sia-sia.

"Malaysia melakukan peranannya dengan membangunkan pelan hala tuju rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui untuk melaksanakan strategi mitigasinya.

"Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP) yang baru dilancarkan harus membantu dalam mencapai 'Nationally Determined Contributions' (NDC) kami serta merintis jalan ke arah aspirasi sifar bersih," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78.

Justeru, beliau berkata, dunia tidak boleh mengalah dalam mendepani isu perubahan iklim ini.

"Saintis mengesahkan bahawa dunia baru saja merekodkan musim panas tertinggi dalam sejarah. Kami sudah mendengar Setiausaha Agung dengan serius mengisytiharkan bahawa kerosakan iklim sudah bermula.

"Malaysia juga menyaksikan peningkatan kesan buruk dari perubahan iklim dengan peningkatan suhu, kenaikan paras lautnya, monsun yang semakin meningkat serta corak cuaca tidak menentu yang mengganggu mata pencarian dan merendahkan ekosistem tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 11:45 PM