RAFIZI menyampaikan ucaptama pada Siri Persidangan Affin 2023. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
RAFIZI menyampaikan ucaptama pada Siri Persidangan Affin 2023. - Gambar NSTP/AMIRUDIN SAHIB
BERNAMA

MALAYSIA bersedia melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaganya secara berfasa mulai bulan depan, meletakkan cita-cita sifar bersih negara sebagai tindakan dengan mengenal pasti inisiatif impak utama dan pelan pelaksanaan untuk dua dekad akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pelan hala tuju itu menggariskan langkah-langkah kerajaan untuk mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

"Kita akan melancarkan fasa pertama menjelang akhir Jun, yang mana ia merangkumi projek dan inisiatif strategik seperti ladang hidrogen dan solar, serta zon khas RE.

"Manakala fasa dua akan diadakan pada Ogos tahun ini, mengenai perkara yang dibolehkan – yang saya maksudkan ialah reformasi perundangan, pembiayaan insentif yang ada yang akan kami lakukan untuk mempercepatkan peralihan itu," katanya kepada pemberita pada Siri Persidangan Affin 2023 di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan perlu memacu perubahan melalui kerjasama rapat dengan industri memandangkan pelan peralihan tenaga negara adalah satu usaha yang besar.

"Saya fikir untuk fasa pertama pada bulan Jun dan fasa kedua pada bulan Ogos, akan ada lebih banyak kejelasan kerana saya juga bercakap tentang cabaran (seperti) sinis yang perlu kami atasi.

"Saya faham tentang perkara itu. Jika saya berada di luar, saya akan menjadi sinis juga kerana saya pernah mendengarnya sebelum ini, orang mahu melihat tindakan, dan dengan tindakan, (bermakna) perkara sebenar boleh dibangunkan," tambahnya.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Rafizi berkata, pelan hala tuju adalah langkah penting dalam meletakkan wang di bidang pertumbuhan strategik, bukan semata-mata menabur janji dalam kelestarian alam sekitar dan tidak lagi melihat pertumbuhan ekonomi dan pelepasan karbon sebagai matlamat tidak bersesuaian.

"Walaupun ada yang masih memperdebatkan tentang pulangan kewangan daripada projek-projek yang boleh diperbaharui tertentu, kami bersedia melabur wang untuknya dan membuka projek itu kepada seramai mungkin pelabur yang berminat untuk menyertainya secara bersama.

"Kita anggarkan cita-cita seperti ini memerlukan pelaburan RM637 bilion (atau US$150 bilion), jumlah yang akan membentuk semula landskap dan perbualan mengenai tenaga boleh diperbaharui di rantau ini," katanya.

Mengenai sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menambat ringgit, Rafizi tidak komited mengenainya dan berkata "belum lagi."

"Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang seterusnya akan diadakan dalam masa dua minggu, tetapi saya fikir ia akan menjadi perbincangan umum mengenai ekonomi. Kita juga akan membincangkan semua pembaharuan struktur lain, tetapi setakat ini belum ada apa-apa perbincangan mengenai apa-apa sahaja yang drastik (berkaitan dengan) menghadapi ketidaktentuan pasaran ini," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:05 AM