Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kuasa besar dunia yang dilihat lebih mengejar cita-cita mendapatkan status antarabangsa lebih tinggi sehingga mengetepikan fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Memulakan ucapan dalam bahasa Melayu, Perdana Menteri menegaskan kuasa-kuasa besar itu seharusnya berusaha untuk terus menyatakan kepentingan kelompok pelbagai hala.

"Hari ini, kita dapati kebanyakan kuasa besar dan mereka yang mengejar status antarabangsa yang lebih hebat mula tidak mengendahkan fungsi PBB demi platform yang lebih kecil, kononnya cara itu lebih berkesan.

"Kuasa-kuasa besar ini seharusnya terus mempertahan kepentingan hubungan pelbagai hala (multilaterialism), sebaliknya apa yang berlaku ketika ini, kita dapati munculnya kelompok kecil negara (minilateralism) yang menyebabkan berlakunya perpecahan dalam percaturan kuasa," katanya dalam Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB ke-78, di sini hari ini.

Anwar berkata, PBB diasaskan dengan visi memberi hak sama rata kepada negara berdaulat, mewujudkan dunia yang lebih demokratik berdasarkan semangat kesaksamaan dan keadilan.

"Visi itu bertujuan menyekat yang lemah menjadi mangsa kepada yang kuat, yang kaya menindas yang miskin dan yang terpinggir, kuasa besar ke atas semua yang lain. Visi mereka (pengasas PBB) pada pendapat saya sudah musnah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 10:46 PM