Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat menjadikan negara ini sebagai hab ilmu dan pengembangan bakat pelajar dari seluruh dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia mesti menarik bakat terbaik dunia khususnya dari negara membangun untuk datang ke sini.

"Negara-negara dunia mesti diyakinkan untuk menghantar bakat terbaik dan pemimpin pelapis mereka yang paling berpotensi untuk diasuh dan digilap di Malaysia.

"Mereka mesti memilih Malaysia sebagai batu loncatan kepada kerjaya yang lebih besar, inovasi lebih terkini dan sumbangan lebih bermakna kepada masyarakat serantau mahupun warga dunia," katanya ketika berucap di Pelancaran Program 'Dual Campus' dan 'Double Degree' Management & Science University (MSU), di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Rektor Universitas Airlangga (UNAIR) Prof Dr Mohammad Nasih.

Mohamed Khaled berkata, sehingga Jun tahun lalu, seramai 10,607 pelajar Indonesia menuntut di Malaysia manakala 1,398 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian tinggi di Indonesia.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang media selepas Pelancaran Program Dual Campus dan Double Degree di MSU Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang media selepas Pelancaran Program Dual Campus dan Double Degree di MSU Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Katanya, walaupun jumlah itu agak memberangsangkan namun ia boleh ditambah baik.

"Perkara ini sangat bertepatan dengan cita-cita saya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab atau pusat pengembangan bakat yang dihormati dunia.

"Malaysia harus menonjolkan diri sebagai kota ilmu dan bakat," katanya.

Menurutnya, pelancaran program 'Dual Campus' dan 'Double Degree' MSU harus menjadi manifestasi yang membuktikan keupayaan sektor pendidikan tinggi Malaysia dalam mengangkat kecemerlangan merentas sempadan.

"Jadi, saya harap MSU akan membantu hasrat kementerian dengan meyakinkan lebih ramai pelajar dan bakat terbaik dari Indonesia untuk datang belajar dan dilatih di sini.

"Perkara ini sudah pasti akan sangat membantu keterlihatan kita di peringkat serantau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 1:00 PM