Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Kerajaan Malaysia menyeru Myanmar supaya segera melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam usaha mencapai keamanan dan kestabilan di Myanmar.

Desakan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta supaya masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengekalkan tekanan ke atas negara itu.

Walaupun prinsip pemusatan ASEAN menetapkan kekejaman berterusan mesti ditamatkan, katanya, Malaysia menyeru Myanmar untuk segera melaksanakan 5PC dicadangkan ASEAN ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di negara itu.

"Perbuatan tidak beradab dan kebejatan terhadap rakyat Myanmar tidak sepatutnya dipertahan dan bertentangan dengan nilai serta prinsip yang dikongsi oleh rakyat di rantau ini dan pada peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung PBB ke-78 di New York, hari ini.

Anwar turut berkata, ASEAN ketika ini sedang mengemudi persaingan di antara kuasa besar di Asia Pasifik.

Katanya, Malaysia percaya sebarang strategi yang dilaksanakan tidak seharusnya memulakan atau memburukkan lagi persaingan untuk mendapatkan kuasa.

Sebaliknya, beliau berkata, strategi sedemikian harus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:50 AM