New York: Malaysia mendesak pemerintah Afghanistan menarik semula dasar diskriminasi dan pengecualian terhadap wanita serta kanak-kanak perempuan di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini penafian hak wanita dan kanak-kanak perempuan untuk mendapat pendidikan satu bentuk pelanggaran ajaran Islam.
Perdana Menteri berkata, tindakan terbabit juga dikhuatiri memudaratkan masa depan Afghanistan.
"Menafikan hak mereka untuk pergi ke sekolah satu pelanggaran ajaran Islam, apatah lagi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rangka kerja pelbagai hala menyentuh hak asasi manusia.
"Mereka juga amat memudaratkan masa depan Afghanistan," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung PBB ke-78 di New York, hari ini.
Afghanistan dikuasai Taliban buat kali kedua bermula 15 Ogos 2021 lalu, dengan pihak berkuasa dilihat melaksanakan kembali undang-undang ketat yang menyaksikan wanita dipinggirkan daripada kehidupan sosial.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga komited untuk meneruskan hubungan sesama manusia dengan Afghanistan termasuk melalui pemberian bantuan kemanusiaan.