Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap persaingan kuasa besar kini yang memberi kesan negatif kepada negara lebih kecil, termasuk di wilayah berdepan konflik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu sekali gus mengakibatkan dunia berhadapan dengan masalah geopolitik dan dilema geostrategik.

"Kita hidup dalam dunia yang sangat terpolarisasi, kita melihat persaingan kuasa besar yang mengakibatkan kesan negatif kepada banyak negara, khususnya yang lebih kecil.

"Hasilnya ialah kita berhadapan dengan geopolitik dan dilema geostrategik sementara kuasa besar terus-menerus memastikan tiada dua (binari) pilihan dikenakan dengan realitinya hanya satu pilihan ditawarkan," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 di New York.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, keadaan itu sekali lagi menyebabkan suara orang ramai tidak lagi diwakili.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati prinsip termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu negara untuk menyelesaikan pertikaian melalui pendekatan yang aman.

"Ia sekali gus mengelakkan tindakan ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah serta kedaulatan atau kemerdekaan politik mana-mana negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 11:32 PM