GUAN Eng hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah pembinaan projek terowong dasar laut dan dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
GUAN Eng hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah pembinaan projek terowong dasar laut dan dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Saksi utama pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hanya timbul selepas lebih setahun siasatan kes ahli perniagaan G Gnanaraja pada 2019.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, mengesahkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh peguam RSN Rayer yang mewakili Lim yang berdepan tuduhan kes rasuah.

Zarul Ahmad berkata, nama Lim tidak disebut ketika memberi keterangan pada 19 dan 20 Januari, 9 Mac serta 5 September 2018, namun nama Pengerusi DAP berkenaan itu timbul pada 9 Disember 2019.

Rayer: Dalam percakapan Datuk Zarul kepada SPRM pada 19 dan 20 Januari, 9 Mac serta 5 September 2018, wang diserahkan Datuk Zarul kepada (ahli perniagaan) G Gnanaraja untuk diserahkan kepada (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak?

Zarul Ahmad: Ya.

Rayer: Kali pertama sebut menyerahkan wang untuk Lim adalah dalam percakapan kepada SPRM pada 9 Disember 2019?

Zarul Ahmad: Ya.

Rayer: Satu-satunya penjelasan diberikan (sebab sebut nama Lim) adalah kerana keterangan (bekas pengarah CZCSB) Ibrahim (Sahari)?

Zarul Ahmad: Ya.

Zarul Ahmad sebagai saksi pendakwaan ke-23 memberi keterangan dalam prosiding pembelaan untuk mencabar kredibilitinya.

Prosiding terbabit adalah untuk menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad dalam kes penipuan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan kes rasuah Lim berhubung lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Pada 24 Oktober tahun lalu, pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad kerana kedua-dua dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Zarul Ahmad berkata, pihak SPRM tidak meminta kemuka sebarang dokumen seperti pengisytiharan harta dan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Rayer: Antara 5 September 2018 dan 9 Disember 2019, adakah Datuk Zarul pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, sebelum memberi percakapan kali terakhir?

Zarul Ahmad: Tak ingat.

Rayer: Ada pegawai SPRM datang ke pejabat Datuk (Zarul) antara 5 September 2018 hingga 9 Disember 2019?

Zarul Ahmad: Tak ingat.

Rayer: Adakah pihak SPRM mengambil apa-apa tindakan lain terhadap Datuk?

Zarul Ahmad: Tidak.

Prosiding mencabar kredibiliti saksi itu di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 1 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 3:07 PM