ANGGOTA Perhilitan memeriksa harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kuala Pilah. FOTO Ihsan Perhilitan
ANGGOTA Perhilitan memeriksa harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kuala Pilah. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Amin Jalil

Kuala Pilah: Kebimbangan empat sekeluarga di Kampung Ulu Beting, di sini, susulan kehadiran seekor harimau kumbang di kawasan sekitar rumah mereka, baru-baru ini, berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap.

Harimau itu memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, semalam.

Penghuni rumah terbabit, Rusmazaiti Kamarulzaman, 31, berkata, dia dan suami, Abdul Mizan Mohd Haris, 42, sebelum itu terdengar bunyi pelik dari luar rumah dan sebaik langsir dibuka, mereka mendapati harimau kumbang memasuki perangkap.

"Pagi itu masih gelap lagi dan saya ingat kecil sahaja, rupa-rupanya bila dah terang harimau kumbang itu bersaiz agak besar. Apa pun saya lega harimau kumbang ini ditangkap.

"Sebelum ini ada banyak kesan tapak kaki dan dipercayai lebih dari seekor harimau kumbang berkeliaran di sini. Perhilitan juga cepat sampai bagi memantau kejadian ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli ketika dihubungi berkata, Jabatan Veterinar negeri akan memeriksa keadaan harimau kumbang terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:34 PM