Perangkap buaya yang dipasang  masih tidak dimasuki buaya tembaga yang berkeliaran di lombong tinggal, Tepoh. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Perangkap buaya yang dipasang masih tidak dimasuki buaya tembaga yang berkeliaran di lombong tinggal, Tepoh. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Buaya tembaga seberat 200 kilogram yang berkeliaran di lombong tinggal di Tepoh, dekat sini, sehingga kini masih gagal ditangkap.

Buaya yang terkenal dengan panggilan Adik Mat atau Mamat itu bagaimanapun masih kelihatan berkeliaran di lombong tinggal terbabit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan buaya tembaga yang dianggarkan sepanjang lima meter itu dibimbangi boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah menempatkan dua perangkap di lombong tinggal itu.

"Kami letak umpan ayam mentah dan menyasarkan buaya itu cepat masuk ke perangkap.

"Namun jangkaan kami meleset berikutan selepas dua minggu, operasi menangkap dan memindahkan Adik Mat masih gagal.

"Adik Mat dilihat mengelilingi perangkap tetapi tidak memasukinya seolah-olah faham mengenai pemasangan perangkap itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia tidak pasti punca menyebabkan Adik Mat sukar memasuki perangkap.

"Kebiasaannya haiwan liar itu senang masuk perangkap apabila melihat umpan ayam mentah.

"Berkemungkinan masih ada penduduk atau pengunjung tanpa disedari masih memberi makan kepada Adik Mat seperti biasa," katanya.

Abdul Malek berkata, pihaknya akan terus memasang perangkap di lombong tinggal itu sehingga buaya tembaga terbabit berjaya ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 3:41 PM