Tiada larangan dalam Islam untuk menderma organ. FOTO Arkib NSTP.
Tiada larangan dalam Islam untuk menderma organ. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan merekodkan hanya seorang penderma organ dan tisu di negeri itu bagi membantu pesakit organ kronik sepanjang tempoh 22 tahun lalu.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, pendermaan organ dan tisu tersebut berlaku pada 2006 melalui seorang remaja lelaki.

“Kita mempunyai ramai pengikrar penderma organ dan tisu di negeri ini, namun pelaksanaan masih rendah. Oleh itu dari semasa ke semasa Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan terus memberi kesedaran dan mempromosi supaya masyarakat sedar mengenai kepentingan aspek ini.

“Kita telah dan akan melakukan forum serta perkongsian pengalaman daripada penderma dan penerima organ supaya masyarakat mendapatkan maklumat dan penjelasan berkaitan kesedaran pendermaan organ dan tisu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Organ Peringkat Kelantan 2019 di Hospital Kuala Krai, hari ini.

Zaini berkata, jumlah pengikrar yang mempunyai hasrat untuk mendermakan organ dan tisu adalah seramai 10,263 orang dari 1997 sehingga 2018.

“Tahap pelaksanaan masih rendah berbanding dengan jumlah pengikrar walaupun hasrat mereka itu satu penghargaan yang tidak ternilai, namun sekadar ikrar tidak memberi peningkatan kepada jumlah penderma.

“Mungkin masyarakat masih keliru dalam aspek hukum walaupun perkara ini sudah dijelaskan melalui fatwa selain halangan daripada ahli keluarga sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pendermaan organ dan tisu itu penting untuk memastikan penerima dapat menjalani kehidupan berkualiti.

“Kita harap ada peningkatan dari segi pelaksanaan daripada pengikrar yang mempunyai hasrat untuk menderma bagi memberi perubahan kepada pesakit dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Pada 1970, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan pendermaan organ daripada masyarakat Islam adalah harus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 9:27 PM