ANGGOTA bomba memberi rawatan awal kepada penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Kilometer 5 Jalan Sungai Choh - Bukit Beruntung, semalam. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memberi rawatan awal kepada penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Kilometer 5 Jalan Sungai Choh - Bukit Beruntung, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Akibat terlelap, seorang lelaki berusia 54 tahun gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 5 Jalan Sungai Choh - Bukit Beruntung, di sini, semalam.

Pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal berusia 26 tahun cedera di peha kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian 1 tengah hari itu membabitkan kereta Perodua Bezza dan motosikal Yamaha 125ZR.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza dari Sungai Choh ke Bukit Beruntung.

"Tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar penunggang motosikal yang juga dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahmad Faizal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 12:53 AM