FOTO Ihsan Pembaca
FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Perjalanan pulang seorang lelaki warga emas dari masjid berakhir tragedi selepas dia maut apabila motosikal ditunggang dilanggar lori di Jalan Persiaran Seroja, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia 71 tahun baru selesai menunaikan solat Asar di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa dan mahu pulang ke rumahnya di Taman Kesumba, Bukit Beruntung.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata kemalangan jam 5.10 petang itu membabitkan dua kenderaan iaitu lori jenis Mitsubishi Fuso membawa muatan kurier dan motosikal Honda Dash.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori berusia 39 tahun tiba di tempat kejadian dan penunggang motosikal dari lorong kiri memasuki lorong kanan.

"Lelaki warga emas itu kemudian dilanggar kenderaan berat itu dari arah belakang," katanya menerusi satu kenyataan, malam ini.

Ahmad Faizal berkata, kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, menerusi pemantauan di beberapa laman Facebook mendapati mangsa dikenali sebagai 'Pak Mat Takbir' dan selalu melaungkan kalimah itu selepas selesai solat Jumaat.

"Rupanya kali ini kali terakhir laungan (takbir) dari beliau. Arwah pergi meninggalkan kita buat selama lamanya di petang Jumaat bulan Syawal yg mulia ini.

"Semoga dipermudahkan segala urusan keluarga beliau.. salam takziah dan semoga tabah menerima ketentuan ini... Al Fatihah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 9:52 PM