JAMAL Bukhari disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.
JAMAL Bukhari disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.
Nor Azizah Mokhtar


DUA penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Bukit Beruntung dan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kemalangan pertama di Kilometer (KM) 28 Jalan Jenjarum, Bukit Beruntung, Sulaiman Yahya, 35, parah selepas merempuh sebuah Toyota Hilux dari arah Sungai Choh ke Bukit Beruntung yang membelok secara cuai di sebuah simpang tiga.

Mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah bertentangan gagal mengelak dan melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor , Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kemalangan jam 7.25 pagi itu, mangsa yang berasal dari Rawang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

“Pemandu Toyota Hilux berusia 54 tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kemalangan kedua di KM 458.2 Sungai Buloh, motosikal Honda EX5 ditunggang Jamal Bukhari Abdullah, 46, dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Azman berkata, dalam kemalangan jam 2 petang itu, mangsa yang berasal dari Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Kita tidak dapat mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa, justeru kita minta saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan.

“Saksi boleh berhubung dengan pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohamad Azirul Ikmal Mohamed Nordin di talian 013-4284263,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 11:34 PM