MELALUI dasar Ekonomi Madani banyak manfaat diperoleh dari sudut bantuan ilmu perniagaan, sistem berteknologi, pembiayaan serta bantuan kewangan berbentuk geran dan tanpa faedah.
MELALUI dasar Ekonomi Madani banyak manfaat diperoleh dari sudut bantuan ilmu perniagaan, sistem berteknologi, pembiayaan serta bantuan kewangan berbentuk geran dan tanpa faedah.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan keperluan untuk beralih ke arah pertumbuhan yang dipacu oleh produktiviti kini menjadi lebih penting.

Justeru, kerajaan komited terhadap mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif dengan kesungguhan dalam memastikan peningkatan sumbangan PKS kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bukan sahaja dapat dilihat melalui Belanjawan 2023, malah terbaru menerusi kerangka Ekonomi Madani.

Strategi Ekonomi Madani dijangka merancakkan ekonomi dan memacu pertumbuhan industri PKS serta membolehkan hala tuju dan naratif baharu yang diperlukan ekonomi negara.

Di bawah Ekonomi Madani, kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur RM1 bilion dana tambahan untuk dipadankan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula niaga tempatan dan menggalakkan usahawan teknologi serta mengantarabangsakan pemain industri.

Manakala bagi PKS, geran pemadanan untuk pendigitalan dinaikkan RM100 juta bagi mempercepat peralihan mereka ke arah lebih banyak model perniagaan digital.

Rata-rata PKS menyambut baik inisiatif Ekonomi Madani dan mengalu-alukan segala usaha murni kerajaan untuk melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berjaya hingga ke peringkat antarabangsa.

Inisiatif kerajaan disambut baik Pengasas Akademi Guru Niaga, Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee, 39, yang berharap bantuan kepada PKS berterusan dalam meningkatkan ekonomi negara, bangsa dan agama.

"Inisiatif ini sangat baik, terutama membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana melalui dasar Ekonomi Madani ini banyak manfaat diperoleh dari sudut bantuan ilmu perniagaan, sistem perniagaan berteknologi, pembiayaan serta bantuan kewangan berbentuk geran dan tanpa faedah.

"Namun, sekarang PKS banyak berdepan kekangan modal pemasaran di medium online, kekangan pekerja tenaga mahir dan dalam sudut sistem perniagaan seperti pos sistem atau web percuma," katanya.

Mohd Noorrizan berkata, sebagai antara PMKS dan rakyat di negara ini, beliau berharap setiap inisiatif dibuat kerajaan berterusan dan perlu diuar-uarkan dengan skala besar supaya usahawan tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

Usahawan, Dr Khalil Zulkifflee, 44, berkata, dia menghargai usaha Perdana Menteri mahu memartabatkan golongan usahawan pemula dan PKS dengan mengenal pasti potensi berkembang lebih besar dan menembusi pasaran global.

Menurutnya, bagi mengantarabangsakan syarikat pemula dan PKS tempatan, usahawan memerlukan bantuan kewangan, selain dibekalkan sokongan ilmiah pakar industri dan penasihat keusahawanan dalam perniagaan diceburi.

"Kerajaan sudah mengumumkan lebih 70 inisiatif diberi untuk perniagaan mikro dan kecil yang tertumpu kepada akses pinjaman dan jaminan pembiayaan seperti sokongan pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, meningkatkan pembiayaan bagi memacu pertumbuhan eksport, penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat pertumbuhan tinggi serta peruntukan tambahan untuk mempergiatkan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi produk tempatan.

"Saya percaya mana-mana syarikat perniagaan dapat bergerak lebih maju jika dilengkapi ilmu dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang diceburi.

"Oleh itu, saya harap kerajaan dapat mempertingkat usaha agar usahawan mendapat ilmu perniagaan dan keusahawanan dengan menyeluruh," katanya.

Katanya, sebagai usahawan, tiada cara lain untuk memajukan perniagaan kecuali menguasai sepenuhnya bidang perniagaan diceburi.

"Dengan itu, proses pembelajaran, penambahbaikan, mempertingkatkan kemahiran harus dilakukan secara konsisten. Ekosistem sesuatu perniagaan bukan setakat jual dan beli sahaja, malah membabitkan aspek penting lain seperti pengurusan, pengoperasian, pemasaran, kewangan, strategi dan banyak lagi.

"Sebagai usahawan, kita harus merujuk kepada pakar dan tenaga pengajar bertauliah seperti institusi keusahawanan diiktiraf kerajaan," katanya.

Sementara itu, usahawan ayam gunting, An Habib Anwar, 42, berkata, dia berharap di bawah Ekonomi Madani, lebih banyak sokongan PKS memajukan diri dan memudahkan pembangunan usahawan.

Menurutnya, PKS mempunyai cabaran tersendiri termasuk soal kewangan kerana sukar untuk PKS mendapatkan pembiayaan bagi pembangunan bisnes dan inovasi berikutan persaingan yang sengit.

"Saya harap kerajaan teruskan menyokong PKS terutama di bawah Ekonomi Madani dan mereka harus memastikan sokongan ini berterusan dan berkesan.

"Segerakan perubahan sewajarnya kerana apabila PKS mendapat sokongan tepat, ia boleh terus menyumbang pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 8:00 AM